Music

Header Ads

Friday, November 27, 2020

Tepat Masanya Untuk Sarawak Tubuh Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit - Dr Hazland


KUCHING: Pengumuman Ketua Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai pembinaan sebuah Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit berdekatan Taman Bio-Industri di Kota Samarahan dilihat sangat tepat pada masanya. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini bukan sahaja menjadikan Sarawak sebagai Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit utama di Asia Tenggara, tetapi juga penyumbang kepada kesihatan sejagat dalam mencari penawar bagi penyakit berjangkit yang masih belum mempunyai vaksin. 


“Hutan Tropika Sarawak mempunyai banyak sumber asli semulajadi yang boleh diterokai dan diperkembangkan potensinya untuk menghasilkan vaksin kepada penyakit berjangkit. 


“Pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang mempunyai khasiat tinggi dipercayai ada di hutan Tropika Sarawak dan pernah digunakan di dalam perubatan tradisional Melayu, Iban, Melanau dan Orang Ulu perlu diterokai dan diperluaskan penggunaannya dengan pengkomersilan.


“Dianggarkan lebih 2,000 spesis tumbuh-tumbuhan semulajadi telah dikenal pasti mempunyai nilai perubatan dan berpotensi untuk dikomersilkan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat. 



Pada Rabu lepas, Ketua Menteri telah mengumumkan pembinaan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit di negeri ini yang berjumlah RM190 juta dan mula dibina pada tahun depan dengan dijangka siap pada 2024 semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi dan Sains Inovasi untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) Edisi Khas 2020 anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak.


Dalam pada itu, jelas Dr Hazland lagi, penubuhan Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit ini akan menjadi platform terbaik bagi memperkembangkan lagi penghasilan saintis tempatan dari Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti penyelidikan. 


“Bersandarkan kepada teknologi terkini dan disokong dengan pengetahuan dan sumber asli yang banyak mampu menjadikan Sarawak sebagai pengeluar vaksin penyakit berjangkit terkemuka dunia dan diktiraf antarabangsa. 


“Ini membolehkan ketidakbergantungan terhadap saintis-saintis dari luar negara bagi tempoh jangka panjang dalam usaha mencapai negeri maju 2030,” jelasnya. 



Dalam pada itu, beliau turut memberitahu penghasilan vaksin ini akan memberi kelebihan kepada penduduk tempatan Sarawak dari segi harga yang murah berbanding harga pasaran dan peluang untuk mendapatkannya lebih awal jika vaksin itu mula dipasarkan di peringkat antarabangsa. -EDISI UKAS

No comments:

Post a Comment

Back To Top