Music

Header Ads

Sunday, December 27, 2020

Revolusi Ekonomi Digital Hasilkan Sukan Elektronik, Tarik Minat Golongan Belia


DEMAK LAUT, Kuching: Permainan video hari ini bukan sahaja suatu hobi atau untuk mengisi masa lapang, tetapi juga telah diangkat sebagai suatu sukan elektronik yang menjadi kegemaran golongan belia di dunia. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, ini merupakan suatu perubahan yang disebabkan revolusi ekonomi digital yang semakin berkembang dalam kehidupan hari ini. 


“Kehidupan kita hari ini mula berubah yang berteraskan kepada teknologi digital. Salah satunya ialah dengan permainan video yang suatu ketika telah wujud hanya sebagai sekadar permainan, tetapi kini sebagai satu cabang sukan dan sumber ekonomi. 


“Kini, permainan video seperti Mobile Lagend, PUBG, FIFA dan sebagainya telah dijadikan sukan elektronik dan dipertandingkan ke temasya sukan besar sehingga menarik ramai penyertaan khususnya golongan belia. 


“Ini secara tidak langsung telah memperkembangkan lagi permainan video ke suatu tahap yang lebih tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Pertandingan E-Sport SABERKAS Kampung Tabuan Drahman baru-baru ini. 



Perubahan ini juga menyebabkan banyak permainan video dihasilkan dan dijadikan sebagai sukan elektronik selain meraih pendapatan lumayan disebabkan permintaannya yang tinggi. 


Dr Hazland menambah aplikasi dalam permainan video ini turut membolehkan setiap pemain mencorakkan strategi secara teknikal mengikut jenis permainan video yang secara tidak langsung mampu memperkembangkan minda. 


“Kebanyakan permainan video yang melibatkan sukan, peperangan dan penjelajahan memerlukan pemain itu menguasai taktik dan teknik yang betul untuk menang,” tambahnya. 


Selain itu, sukan elektronik ini yang turut dimainkan secara berpasukan sudah semestinya ini akan dapat memperkukuhkan persahabatan antara satu sama lain. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top