Music

Header Ads

Friday, December 25, 2020

Rebut Dan Terokai Produk-Produk Pelancongan Tempatan Bako Sebagai Sumber Pendapatan Utama


DEMAK LAUT, Kuching: Penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan Bako perlu merebut dan menerokai produk-produk pelancongan tempatan yang boleh dijadikan sumber pendapatan utama. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, banyak produk-produk tempatan yang boleh diketengahkan bagi melambangkan identiti masyarakat tempatan Bako dan negeri kepada pelancong yang datang berkunjung ke Bako. 


“Keunikan Bako merupakan sebuah perkampungan nelayan yang harus diketengahkan menerusi kehidupan harian, hasil ekonomi dan budaya.


“Mengambil contoh perkhidmatan Homestay yang bukan sahaja menyediakan tempat bermalam, tetapi juga boleh mengetengahkan kehidupan penduduk seperti memproses belacan, membaiki peralatan nelayan, melihat buaya dan sebagainya. 



“Di samping itu, perkhidmatan lain yang boleh ditawarkan ialah menyelami kehidupan sebagai nelayan dengan turun ke laut merasai menangkap ikan dan hasil laut, dan menyajikan pembuatan makanan tempatan termasuk kuih muih.


“Produk dan perkhidmatan seperti ini tidak akan terdapat di tempat lain dan keunikannya hanya ada di Kampung Bako,” katanya ketika ditemui semasa hadir di aktiviti mingguan Bako Fest 2020 yang diadakan di Kampung Bako baru-baru ini. 


Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena Bako Fest 2020 pada minggu ini ialah Pertandingan Masakan Tradisional, Kuih Asli, Pertandingan Lipatan Kain, Pertandingan Gubahan Bahan Terbuang dan Pertandingan E-Sport.



Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa membantu penduduk-penduduk yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini dengan mengadakan promosi dan publisiti secara meluas yang merupakan salah satu daripada sumber pendapatan utama negeri. 


“Industri pelancongan merupakan salah satu daripada industri yang memberikan sumbangan ekonomi negeri yang besar selain minyak dan gas, perkayuan dan perkilangan. 


“Justeru, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan secara berterusan mengadakan promosi dan publisiti bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara datang ke Sarawak.


“Peranan ini juga perlu dipikul bersama penduduk tempatan dengan menyedia dan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh menarik minat pelancong untuk berkunjung dan menghayati keindahan semulajadi Bako,” ujarnya. 



Malah, penduduk Bako harus berasa bertuah dan perlu mengambil kesempatan disebabkan nama Bako telah tersemat dalam buku pelancongan antarabangsa apabila Taman Negara Bako telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top