Music

Header Ads

Wednesday, December 23, 2020

Kepimpinan Kampung Perlu Fahami Skop Kerja


DEMAK LAUT, Kuching: Kepimpinan tertinggi di peringkat kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut perlu memahami skop kerja yang diberikan. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, dengan memahami skop kerja yang diberikan membolehkan tugas dan peranan dapat dilaksanakan dengan jayanya. 


“Setiap pemimpin yang dilantik di dalam jawatankuasa di peringkat kampung sama ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) seperti Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Kawasan Kejiranan Mesra (KJM), AJK Pengurusan Masjid atau Surau dan sebagainya perlu mengetahui dan memahami peranan mereka supaya tugasan dapat dilaksanakan dengan mudah dan berkesan. 


“Dengan mengetahui peranan dan skop kerja masing-masing membolehkan tugas dan tanggungjawab JKKK dan semua NGO’s di kampung dapat diperjelaskan dengan terperinci memandangkan ada di kalangan mereka yang baharu sahaja memegang jawatan itu,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Dialog Bersama Kepimpinan Tertinggi Kampung Mesra Bako baru-baru ini. 



Dalam hal ini, setiap JKKK dan NGO’s juga perlu aktif dengan mengambil peranan masing-masing di peringkat kampung supaya setiap isu berbangkit dan persoalan dapat dikenal pasti dan dibawa untuk penyelesaian bersama. 


Dalam pada itu, Dr Hazland turut meminta setiap JKKK menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya demi memastikan kesejateraan penduduk. 


“Setiap JKKK perlu memastikan statistik dan data maklumat profail kampung dikemaskini. 


“Ini termasuklah dengan jumlah penduduk, ekonomi, e-kasih, projek-projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan serta cadangan penambahbaikan sistem pengurusan dan pentadbiran kampung. 


“Turut dibincangkan pelbagai topik melibatkan kemajuan dan kesejahteraan kampung,” ujarnya. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top