Music

Header Ads

Thursday, June 17, 2021

PKPD Cara Terbaik Hentikan Penularan COVID-19 Di Dalam Kampung


DEMAK LAUT, Kuching: Penduduk di Kampung Tabuan Drahman yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diminta untuk mengikuti setiap arahan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk membuat ujian calitan COVID-19. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini untuk memastikan setiap tugasan KKM sepanjang PKPD dapat dijalankan dengan sempurna dan memastikan tiada yang terlepas dalam pengesanan kes aktif COVID-19. 


“Penduduk diminta untuk ikut setiap arahan yang telah ditetapkan petugas KKM sepanjang pelaksanaan PKPD khususnya dalam mengambil ujian calitan COVID-19 dan duduk di rumah. 


“PKPD ini akan mengambil masa dua minggu dan ini merupakan tempoh munasabah bagi menilai seseorang dijangkiti penyakit COVID-19 atau sebaliknya. 


“Untuk itu, jangan keluar rumah kecuali benar-benar perlu dan juga jangan lari dari kampung,” katanya semasa mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Tabuan Haji Drahman bermula 14 Jun hingga 28 Jun 2021 pada Rabu.



Bermula Rabu dan Khamis, semua penduduk Kampung Tabuan Haji Drahman menjalani ujian calitan COVID-19 bagi mengesan dan mengenal pasti mereka yang dijangkiti COVID-19. 


Dalam pada itu, Dr Hazland juga memberitahu Pusat Khidmat DUN Demak Laut juga mengagihkan bantuan makanan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di kampung tersebut bagi meringankan beban penduduk yang tidak boleh keluar rumah sepanjang PKPD. 


Sebanyak 700 bantuan bekalan makanan telah diagihkan kepada Kampung Tabuan Haji Drahman 1 dan 2.


Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak turut juga menyumbang bantuan makanan kepada penduduk Kampung Tabuan Haji Drahman. 



Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan harian COVID-19 pada Selasa telah memaklumkan Kampung Muara Tebas dan Kampung Goebilt juga dikenakan PKPD bermula 16 hingga 29 Jun 2021. 


Ini susulan daripada peningkatan kes positif COVID-19 di dalam komuniti berkenaan. 


Hadir sama Ketua Kaum Wan Sahapudin, Ketua-Ketua Ranting PBB dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PBB Ranting Tabuan Haji Drahman 1 dan 2. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top