Music

Header Ads

Monday, August 6, 2018

Kerajaan Negeri Sarawak Terokai Lebih Banyak Bidang Baharu - Abang Zohari


KUCHING - Kerajaan Sarawak akan meneroka lebih banyak bidang baharu khasnya teknologi dalam usaha mengukuhkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Johari berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan ke arah Revolusi Industri (RI) 4.0.

“Sebagai contoh, Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad mengendalikan penyelidikan pengeluaran hidrogen dan hidrogen boleh dijadikan ekonomi.

“Inilah teknologi baharu yang pelajar-pelajar akan teruskan dalam pengajian selari dengan era RI 4.0,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2018 yang dihadiri Pengarahnya, Azmi Bujang di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata, yayasan membuka ruang kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian dalam disiplin baharu dari aspek teknologi.

Beliau memberitahu, masih banyak bidang atau disiplin baharu yang boleh diteroka dalam pendidikan yang boleh dijadikan sebagai perniagaan.

“Saya dan ahli kabinet lain serta atas kapasiti sebagai Ketua Menteri mahu meneroka bidang baharu khasnya dalam pengajian.

“Tambahan dengan kekayaan sumber kita ada, kita boleh menambah nilai sumber berkenaan sekali gus mengukuhkan ekonomi serta meningkatkan gaya hidup rakyat kita,” katanya.

Mengenai majlis penyampaian hadiah pelajar cemerlang berkenaan, Abang Johari berterima kasih kepada Yayasan Sarawak atas sumbangan diberikan kepada anak-anak Sarawak dalam pendidikan.

Katanya, hadiah itu bukan sahaja menjadi ganjaran ke atas usaha mereka, tetapi juga motivasi untuk melangkah lebih jauh ke institusi pengajian tinggi.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Sarawak kerana sejak penubuhannya, yayasan telah melahirkan ramai intelektual dan mereka berjaya dalam karier masing-masing.

“Kerajaan Sarawak sudah pasti meneruskan misi seperti ini terutama kepada mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan Sarawak sanggup melabur dalam pendidikan kerana tahu ia memberi pulangan terbaik iaitu mewujudkan lebih ramai masyarakat berpendidikan.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Bakar Marzuki. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top