Music

Header Ads

Thursday, September 6, 2018

ADUN Demak Laut Sentiasa Peka Terhadap Keperluan Rakyat


KUCHING, 6 September - Dalam memastikan setiap rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mendapat bantuan kebajikan, Pusat Khidmat DUN Demak Laut sentiasa mengemaskini data bagi membolehkan tiada seorang pun daripada kalangan mereka ini terlepas untuk menerima bantuan khasnya daripada kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland bin Haji Abang Hipni menegaskan, setiap kampung perlu mengemas kini data dan maklumat berhubung dengan status penduduk agar setiap bantuan dan sumbangan daripada kerajaan dapat disalurkan terus kepada mereka yang memerlukan.

"Kami di Pusat Khidmat DUN Demak Laut kini dalam proses mengemas kini data dan maklumat berkenaan dengan status penduduk khususnya bagi kategori mereka yang memerlukan bantuan kebajikan daripada kerajaan.
"Mereka ini terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) yang ada di setiap kampung. Kemas kini data dan maklumat ini penting supaya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kerajaan tidak akan tercicir.
"Untuk itu, saya bersama staf Pusat Khidmat DUN Demak Laut turun padang dan bekerjasama dengan Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mengemas kini data dan maklumat penduduk," katanya. 
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim dan Pelajar-Pelajar Berjaya Melanjutkan Pengajian di Institut Pengajian Tinggi di sini, Ahad lepas.
Turut hadir Ketua Kaum Fauzi Ameng dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Semilang Panyi Han.
Pada majlis itu, Dr Haji Hazland telah menyampaikan sumbangan kepada 12 orang penerima yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan OKU di Kampung Tiang Api.
Manakala, tiga orang lagi merupakan pelajar-pelajar dari Kampung Tiang Api yang berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Dalam pada itu, ujar Dr Haji Hazland lagi, di DUN Demak Laut telah ada satu pertubuhan yang dikenali Persatuan Ibu Tunggal Demak Laut yang dianggotai ibu-ibu tunggal dan merupakan cawangan kepada Persatuan Ibu Tunggal Bahagian Kuching.

"Kita sedang memperkasakan Persatuan Ibu Tunggal Demak Laut dengan memberikan tunjuk ajar dalam bidang ekonomi khususnya pembuatan dan pemasaran kuih muih.
"Kita juga mahu setiap di kalangan ibu tunggal ini menyertai dan memperolehi pendapatan bagi meningkatkan sosioekonomi keluarga," ujarnya.
Menerusi kegiatan ini, ibu tunggal boleh dan mampu berdikari dalam mengubah cara hidup yang lebih baik di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Back To Top