Music

Header Ads

Wednesday, October 17, 2018

Perluaskan Penubuhan Makmal STEM Di Sekolah-Sekolah Di DUN Demak Laut - Dr Hazland


KUCHING, 16 Oktober - Guru besar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dicadangkan menubuhkan makmal Science Technology Engineering Mathematics (STEM) bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha memperkasakan pengetahuan dan kemahiran murid-murid menguasai bidang ini.

Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dalam pertemuan bersama dengan beberapa guru besar sekolah rendah di kawasan DUN Demak Laut di sini, semalam.

"Ketika ini kita di DUN Demak Laut telah pun mempunyai sebuah makmal STEM di Sekolah Kebangsaan (SK) Bako. Makmal STEM ini merupakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Malah, pada masa ini anak-anak kita yang bersekolah rendah sudah mula didedahkan dengan teknologi ini menerusi penggunaan telefon pintar sama ada menerusi pembelajaran mahupun permainan video oleh ibu bapa dan keluarga mereka.

"Justeru, dengan adanya penubuhan makmal STEM di sekolah-sekolah dapatlah murid-murid ini bukan sahaja mempelajari, tetapi juga menguasai bidang kemahiran STEM. Untuk itu, saya mahu semua sekolah kebangsaan di DUN Demak Laut mempunyai makmal STEM dan menjadikan SK Bako sebagai model dalam pembelajaran STEM di sekolah," katanya.

Turut hadir guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bako, SK Senari, SK MuaraTebas, SK Pajar Sejingkat, SK Gobeilt dan SK Chung Hua Sungai Buda.

Dr Hazland turut melahirkan keyakinan bahawa jika STEM ini berjaya dilaksanakan di sekolah-sekolah di kawasan DUN Demak Laut, pasti lebih ramai modal insan yang berkemahiran dalam bidang Sains dan Teknologi dapat dilahirkan sekali gus dapat membangunkan negeri Sarawak yang kini sedang dilonjakkan dengan ekonomi digital.

"Saya menyokong apa jua cadangan yang menarik berkaitan penubuhan STEM ini dan juga bersedia membantu dalam mewujudkan makmal STEM ini dengan menambah peruntukan yang sedia ada.

"Begitu pun, guru besar perlu bekerjasama dengan PIBG di sekolah masing-masing dalam membincangkan penubuhan makmal STEM ini," tambahnya.

Mengenai cadangan mengadakan beberapa program dan aktiviti di sekolah, Dr Hazland menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah di atas setiap cadangan yang dikemukakan, tetapi biarlah ia dilaksanakan bersama dengan PIBG sekolah.

"Sejak beberapa tahun, saya telah memberikan peruntukan khas kepada setiap PIBG sekolah di kawasan DUN Demak Laut untuk diadakan program dan aktiviti yang mempunyai faedah dan kepentingan bersama murid-murid, pihak sekolah dan ibu bapa.

"Menerusi peruntukan ini, pihak sekolah dan PIBG boleh mengadakan program dan aktiviti yang dirasakan boleh memberikan manfaat kepada semua pihak seperti pelaksanaan makmal STEM yang dicadangkan dalam perbincangan pada hari ini," katanya. 

Sementara itu, Dr Hazland turut meminta pihak sekolah dan ibu bapa bersikap bertoleransi dalam mengambil berat mengenai permasalahan yang berlaku ke atas murid-murid dengan pihak sekolah.

"Ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi kepada pihak sekolah dan guru dalam mendidik anak-anak mereka  untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu juga mengambil berat tentang akan apa yang berlaku ke atas anak-anak mereka dengan mengawasi segala tingkah laku mereka supaya ianya terkawal. 


Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab mendidik dan mengajar anak-anak mereka sepenuhnya ke atas bahu guru-guru dan pihak sekolah sahaja," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top