Music

Header Ads

Monday, October 15, 2018

Dr Hazland Serah Projek 4 Projek Bernilai Hampir RM1 Juta Kepada JPS


KUCHING, 12 Oktober - Hampir satu juta diperuntukan bagi membina sistem perparitan dan pintu air di beberapa buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Peruntukan ini adalah sebahagian daripada peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Demak Laut bagi tahun 2018.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni projek sistem perparitan dan pintu air ini merupakan sebahagian daripada projek di bawah RTP 2018 yang telah diluluskan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Sebanyak 3 projek sistem perparitan dan satu projek membina pintu air telah diluluskan Kerajaan Negeri Sarawak di bawah peruntukan RTP DUN Demak Laut 2018. Ini adalah sebahagian daripada projek-projek RTP di bawah DUN Demak Laut.

"3 projek Bina Baru Sistem Perparitan yang telah diluluskan ini akan dilaksanakan di Kampung Selabat, Kampung Muara Tebas Fasa 2 dan Kampung Sejingkat Fasa 2. Manakala, satu lagi projek membabitkan pembinaan Pintu Air akan dibina di Kampung Tanjung Bako.

"Kesemua projek ini akan dimulakan dalam masa terdekat dan siap pada awal tahun depan. Projek-projek ini akan diselia di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Projek RTP DUN Demak Laut kepada DID Bahagian Kuching dan Samarahan yang diwakili Ir. Irwandee Reduan di Pusat Khidmat DUN Demak Laut, semalam.

Dr Hazland turut memaklumkan setiap ADUN menerima peruntukan RTP sebanyak RM5 juta setahun.


"Peruntukan RTP bagi setiap DUN adalah sebanyak RM5 juta yang akan digunakan bagi melaksanakan pembangunan di kawasan DUN masing-masing.

"Pada hari ini (semalam), saya telah menyerahkan 4 projek RTP membina sistem perparitan dan pintu air kepada JPS. 

"Pada masa yang sama, kita juga telah pun menerima senarai projek RTP yang telah diluluskan bagi tahun 2018. Ini akan kita agihkan kepada beberapa agensi dan jabatan yang akan melaksanakan projek tersebut," katanya.

Selain JPS, terdapat beberapa lagi agensi pelaksana yang bertanggungjawab dalam menyelia dan melaksanakan projek RTP di DUN Demak Laut antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Hadir sama pegawai JPS Bahagian Kuching Samarahan Zakinah Hidni dan Bong anak Lahong, Penghulu Kampung Selabat Hj Ali bin Matsah, Ketua Kaum Muara Tebas Sudin@Seman bin Rasit dan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Senani bin Let.

No comments:

Post a Comment

Back To Top