Music

Header Ads

Friday, May 10, 2019

Dr Hazland Agih 1,600 Bungkus Bubur Lambuk Kepada Penduduk Di Kawasan Tabuan


KUCHING: Kira-kira 1,600 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk-penduduk di kawasan Tabuan merangkumi Kampung Tabuan Dani, Kampung Tabuan Lot, Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Hilir.

Agihan ini telah disampaikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni di dalam Majlis Kembara Ramadan di keempat-empat buah kampung, semalam.

Ini merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak 2011 lagi yang diadakan mengikut giliran di seluruh 28 kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut

Menurut Dr Hj Hazland, ini merupakan program tahunan ADUN Demak Laut bersama dengan setiap Ranting PBB, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung di kawasan DUN Demak Laut bagi meraikan bulan Ramadan selain meneruskan konsep bersedekah.

"Menjadi aktiviti tahunan kami di DUN Demak Laut setiap kali di bulan Ramadan. Selain mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk kampung, aktiviti membuat dan mengagihkan bubur lambuk ini juga meneruskan konsep bersedekah di sepanjang bulan Ramadan," katanya yang gembira melihat aktiviti ini berjaya mencapai objektifnya.

Beliau turut memberitahu selepas ini agihan bubur lambuk akan diteruskan di beberapa buah kampung dalam kawasan DUN Demak Laut.

"Kita baru sahaja memasuki 4 Ramadan dan Program Kembara Ramadan ini akan kita teruskan di beberapa lagi kampung di sepanjang Ramadan ini," tambahnya.

Ditanya mengapa memilih bubur lambuk, Dr Hj Hazland berkata bubur lambuk ini selain mudah disediakan ianya juga menjadi menu wajib di bulan Ramadan ini.

"Bubur lambuk sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di Sarawak termasuklah di kawasan DUN Demak Laut.


"Penyediaan bubur lambuk ini tidak sukar, tetapi memerlukan kerjasama ramai pihak khususnya dalam menyediakannya dalam kuantiti yang banyak selain memerlukan masa yang lama," jelasnya. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top