Music

Header Ads

Tuesday, September 1, 2020

Akses Pengangkutan Feri Dan Jambatan Jalan Penyelesaian Perhubungan Penduduk Di Kawasan Tanjung Embang

 


DEMAK LAUT, Kuching:  Kawasan Tanjung Embang yang terdiri daripada Kampung Beradek, Beradek Cina, Semilang, Tiang Api dan Sungai Pinang di sini sangat memerlukan akses pengangkutan bagi meningkat ekonomi penduduknya. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, hanya dengan perkhidmatan feri atau pembinaan jambatan sahaja yang dapat menghubungkan penduduk dengan kawasan seberang.


“Akses seperti perkhidmatan feri di seberang Sungai Sarawak atau dengan membina jambatan di kawasan sungai yang berlainan.


“Perkhidmatan feri akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek untuk penduduk kampung sementara jambatan akan memberikan penyelesaian jangka panjang untuk masalah tersebut.


“Manakala, pembinaan jambatan akan disusuli dengan pembinaan jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Program Pertanian Bersepadu Kawasan Tanjung Embang pada Ahad. 



Bagaimanapun, jelas Dr Hazland lagi, cadangan perkhidmatan feri terpaksa ditangguhkan akibat faktor keselamatan.


"Ya, kami memang telah lama mencadangkan perkhidmatan feri tetapi rancangannya ditangguhkan atas beberapa sebab. Salah satu sebab utama adalah faktor keselamatan.


"Ketika kami mencadangkan perkhidmatan feri kepada Kerajaan Sarawak, kami diberitahu sungai itu tidak selamat untuk feri beroperasi. 


"Oleh itu, kami telah mengunakan khidmat perunding keselamatan sungai dan memperoleh sijil keselamatan,” jelasnya. 


Penyelesaian kedua ialah membina jambatan dan jalan ke kampung tersebut. 


"Rancangan kami ialah untuk membina jambatan dari Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako yang akan menyeberangi sungai  Loba Batu Belat,” katanya. 



Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie turut menekankan pentingnya aksesbiliti bagi penduduk yang tinggal di Tanjung Embang itu. 


“Dengan adanya akses pengangkutan itu membolehkan penduduk-penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka ke pasar.


“Kos bagi pembinaan jambatan sekitar RM200 juta manakala kos pembinaan jalan raya sekitar RM45 juta,” katanya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top