Music

Header Ads

Friday, November 13, 2020

Cadangan Wujudkan Southern Region Development Agencies (SRDA) Bangunkan Industri Pelancongan Di Kawasan Pesisir Tanjung Datu, Pantai Damai Dan Demak Laut


KUCHING: Satu cadangan telah diutarakan kepada Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk mewujudkan Southern Region Development Agencies (SRDA) bagi membangunkan industri pelancongan di kawasan pesisir Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, kawasan SRDA ini meliputi seluruh kawasan persisiran pantai dari Telok Melano hingga ke Santubong, Telaga Air, Bako, Muara Tebas dan Tanjong Embang untuk dibangunkan secara sistematik dan terancang. 


“Kami dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, Pantai Damai dan Demak Laut mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan Southern Region Development Agencies (SRDA).


“Ianya memfokuskan kepada pembangunan industri pelancongan yang berpotensi besar di kawasan kami seperti pelancongan ekonomi, pelancongan agro, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan, pelancongan pengembaraan, pelancongan industri, pelancongan muzik, pelancongan laut dan aktiviti melihat burung,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul Belanjawan 2021 Sarawak dalam Persidangan Hari Keempat Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 pada Khamis.



[Perbahasan Belanjawan 2021 Sarawak yang dibentangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di DUN Sarawak pada 12 November 2020]

Jelasnya, ini sudah pasti akan melonjakkan lagi industri pelancongan Sarawak dan pelancongan domestik sejajar dengan keadaan masa kini yang diancam wabak pandemik COVID-19 dan ianya diadakan secara berfasa dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. 


Dalam pada itu, Dr Hazland mengucapkan terima kasih kepada Datuk Patinggi Abang Zohari yang telah meluluskan sejumlah peruntukkan dalam Belanjawan 2021 bagi membangunkan beberapa projek pembangunan di kawasan DUN Demak Laut. 


“Rakyat Demak Laut juga bersyukur dan berterima kasih atas segala peruntukkan-peruntukkan yang telah dimasukkan di dalam Bajet 2021.


“Contohnya peruntukkan untuk memajukan lagi kawasan perindustrian Demak Laut, Projek Perumahan Rakyat di Kampung Tabuan Melayu dan Kampung Sejingkat, membina jambatan baru di Sungai Sarawak Tanjung Bako BCCK dan projek jalan raya baru Bako ke Buntal,” ujarnya.


Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada masyarakat di kawasan DUN Demak Laut sepanjang penularan pandemik COVID-19 dan juga bantuan lain seperti Agriculture Facilitation Fund (AFF), Projek Pembaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS), tukun tiruan, bantuan nelayan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top