Music

Header Ads

Thursday, December 31, 2020

Bakat Dalam Sukan Boleh Diperkembangkan Menjadi Suatu Industri Yang Memberi Keuntungan


DEMAK LAUT, Kuching: Setiap insan dikurniakan dengan pelbagai kelebihan termasuklah bakat yang berbeza. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, dengan bakat yang ada membolehkan seseorang itu maju ke hadapan dalam mencapai impian serta meraih keuntungan jika ia dieksploitasi dengan lebih mendalam. 


“Bakat yang tercungkil boleh menjadi sumber ekonomi jika ianya dilakukan dengan betul, sistematik dan berkesan. 


“Menerusi bakat dalam bidang sukan, seseorang itu mampu pergi jauh dengan mewakili negeri dan negara sekaligus meraih keuntungan seperti mana yang dialami mereka yang menjadikan sukan itu sebagai kerjaya profesional.


“Malah, pada hari ini juga bakat yang ada dalam bidang sukan boleh dijadikan suatu industri seperti kemahiran dalam pembuatan barangan sukan, kejurulatihan, sains sukan dalam pemakanan dan kesihatan, dan teknologi sukan,” katanya.



Beliau berkata semasa berucap merasmikan Gelanggang Sepak Takraw di Taman Sepakat Jaya baru-baru ini. 


Gelanggang Sepak Takraw yang bernilai RM100,000 ini merupakan salah satu daripada Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Demak Laut. 


Mengulas lanjut, Dr Hazland mahu masyarakat di Taman Sepakat Jaya terutamanya belia menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak ini dengan sebaik mungkin. 


“Gunakanlah kemudahan yang disediakan ini dengan sebaik mungkin untuk aktiviti riadah dan sukan.


“Ini secara tidak langsung dapat menghindari belia daripada dipengaruhi gejala negatif yang sering menjadi duri dalam daging serta meningkatkan kesihatan dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” ujarnya. 



Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan perlawanan Sepak Takraw Tertutup Taman Sepakat Jaya 2020 dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top