Music

Header Ads

Wednesday, December 9, 2020

Kolej Vokasional Jalin Kerjasama Bersama 10 Buah Syarikat Dan Pemain Industri, Memartabatkan TVET Di Sarawak


DEMAK LAUT, Kuching: Dalam usaha memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Sarawak, Kolej Vokasional telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama 10 buah syarikat dan pemain industri di negeri ini.


Menurut Menteri Muda Perdagangan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, kerjasama seperti ini menjadikan industri faham peranan Kolej Vokasional dan saling bantu membantu antara satu sama lain.


"Saya percaya program ini selari dengan matlamat dan usaha kerajaan khususnya di negeri Sarawak ini bagi memastikan 70 peratus lepasan pelajar kita adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai asas kemahiran dalam bidang teknikal mahupun vokasional sebelum memasuki pasaran kerja.


"Diharap program seumpama ini dapat menjadi acara tahunan agar dapat mendekatkan pihak industri kepada TVET dan sistem dalam pendidikan Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) selain menyebar luas berkaitan kelebihan kerjasama ini dan seterusnya menggalakkan anak-anak melanjutkan pengajian dalam bidang TVET," katanya.


Teks ucapan beliau telah dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni yang mewakili Datuk Mohd Naroden dalam Majlis Menandatangani MoU di sebuah hotel di sini pada Isnin.




Dr Hazland turut menyaksikan MoU bersama di antara Kolej Vokasional Matang dengan 10 syarikat antaranya D'Zikir Engineering Enterprise Training and Consultancy, D'Athirah Enterprise, Sri Putri Collection, K.A.C Aircond Sales and Services, CT Air Conditioning Refrigeration and Electrical Works, Abio Orthopaedic (MFG) Sdn Bhd, An-Nashr Resources, BL Consultant Team, Borneo Highlands Hornbill Golf and Jungle Club Sdn Bhd.


Datuk Naroden menjelaskan sistem pendidikan pada hari ini bukan seperti 20 tahun lalu yang hanya mengharapkan kecemerlangan dalam bidang akademik semata-mata.


"Senario ini sudah berbeza kerana pada hari ini kerajaan telah memberi tumpuan kepada pelajar untuk belajar bukan sahaja mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik tetapi juga menguasai bidang kemahiran teknikal dan vokasional," tambahnya.


Dalam pada itu, Naroden memberitahu  MoU seperti itu amat releven diadakan agar dapat memberi penerangan dan penjelasan serta merealisasikan kehendak TVET itu sendiri.


Tegasnya lagi, TVET merupakan persiapan masa depan negara yang amat penting jika mahu kekal maju serta kompetitif.




Ujar Naroden lagi, MoU ini membolehkan pelajar menjalani latihan industri selama empat hingga lima bulan selepas empat tahun menimba pelbagai ilmu dan kemahiran di kolej vokasional.


"Antara kejayaan yang membanggakan ialah kebolehpasaran graduan kita iaitu sebanyak 100 peratus daripada 2,273 graduan kohort pertama (2016) telah bekerja mengikut bidang yang dipelajari di kolej ini.


"Manakala lebih 96.47 peratus daripada 12,997 pelajar kohort kedua (2017) telah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian mereka," ujarnya. BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top