Music

Header Ads

Sunday, January 10, 2021

Peranan Masjid Dan Surau Perlu Dikembangkan Sebagai Pusat Pembangunan Ummah


DEMAK LAUT, Kuching: Peranan masjid dan surau boleh dikembangkan sebagai Pusat Pembangunan Ummah selain peranan utamanya sebagai tempat beribadah. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata menerusi peranan ini, masjid dan surau akan menjadi tempat terbaik kepada masyarakat Islam bertemu dan berbincang serta mencari jalan penyelesaian pada akhirnya. 


“Peranan masjid dan surau perlu diperkembangkan sebagai Pusat Pembangunan Ummah bagi memastikan fungsi dan peranannya kepada masyarakat  sentiasa relevan selain digunakan untuk menunaikan ibadah. 


“Misalnya, masjid dan surau boleh dijadikan sebagai nadi penggerak kepada pendidikan kerohanian, kebajikan, pentadbiran dan saluran komunikasi yang akan memberi inspirasi kepada komuniti luar yang seterusnya akan meningkatkan kesejahteraan, perpaduan dan taraf kehidupan ummah,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Darul Falah Kampung Tabuan Drahman selepas solat Jumaat. 



Mengulas lanjut, Dr Hazland memberitahu perkara ini bukan baharu kerana pada zaman Nabi Muhamad S.A.W, baginda telah menjadikan masjid dan surau ini sebagai Pusat Pembangunan Ummah dan pendidikan selain tempat untuk mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian masalah. 


“Sejak zaman Rasulullah SAW, masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi sebagai pusat pembangunan ummah,” ujarnya. 



Untuk itu, masyarakat Islam pada hari ini harus mempromosikan peranan masjid dan surau sebagai wadah penyatuan ummah dengan menghidupkan kembali peranan masjid dan surau dengan segala macam aktiviti kerohanian kerana situasi itu telah terbukti membawa ummah ke puncak peradaban teragung pada suatu ketika dahulu. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top