Music

Header Ads

Monday, April 5, 2021

Pereratkan Kerjasama JKKK Dan Agensi Kerajaan Untuk Pastikan Keselamatan Dan Kesejahteraan Masyarakat Kampung Terjamin


DEMAK LAUT, Kuching: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mempertingkatkan hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan. 


Perkara ini penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat kampung terjamin. 


“Sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan badan penting dalam sesebuah kampung, JKKK berperanan sebagai penggerak kepada permaufakatan dan hubungan baik antara masyarakat dan agensi kerajaan. 


“Menerusi hubungan baik ini, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat akan terpelihara dengan setiap permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik dan tersusun,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Hazland Abang Hipni ketika berucap merasmikan Dialog Kampung Bersama Agensi Kerajaan yang diadakan di Hotel UCSI pada Sabtu. 



Agensi kerajaan yang terlibat dalam dialog itu ialah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Lembaga Air Kuching dan Lembaga Penjagaan Tanah dan Pembangunan (LCDA). 


Mengulas mengenai penganjuran dialog ini, Dr Hazland menyifatkan objektifnya berjaya dicapai dengan adanya sokongan daripada semua JKKK yang terlibat dan agensi kerajaan. 


“Banyak isu yang telah dibincangkan secara bersama seperti penagihan dadah, keselamatan, kebersihan, kesejahteraan dan kemajuan kampung.


“Dengan hubungan baik dan kerjasama utuh, setiap isu ini pastinya mempunyai jalan penyelesaian terbaik untuk kebaikan masyarakat bersama,” ujarnya. 



Kesempatan itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur JKKK Zon Tabuan Melayu yang telah bertungkus lumus menganjurkan Dialog Kampung Bersama Agensi Kerajaan.


Antara JKKK yang terlibat dalam dialog ini ialah JKKK Kampung Tabuan Dani, Kampung Tabuan Lot, Kampung Tabuan Tengah, Kampung Tabuan Lama, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Selipar Putus Cemerlang (SPC) dan Kampung Muara Tabuan. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top