DEMAK LAUT, Kuching: Kejayaan pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah suatu permulaan dalam menggapai kecemerlangan yang lebih baik pada masa akan datang.
Bagaimanapun, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni, kejayaan ini perlu diteruskan di peringkat lebih tinggi lagi demi memastikan cita-cita itu dapat dicapai.
“Pada hari ini, ilmu sangat penting. Hanya dengan kejayaan pendidikan sahaja membolehkan masa depan kita cerah.
“Di samping itu, sokongan ibu bapa juga penting untuk pastikan apa yang kita pelajari itu mendapat keberkatan,” katanya semasa menyampaikan hadiah insentif kecemerlangan SPM di Pusat Khidmat DUN Demak Laut pada Sabtu.
Seramai 15 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat yang mencapai kejayaan cemerlang dalam SPM menerima hadiah insentif kecemerlangan ADUN Demak Laut.
Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata, pihaknya juga menyediakan insentif kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).
“Kita juga menyediakan insentif kecemerlangan IPT bagi menggalakkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Sehingga kini, DUN Demak Laut telah melahirkan ramai graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment