Music

Header Ads

Friday, August 13, 2021

Langkah Awal Penting Untuk Bendung Penularan Pandemik COVID-19 Dalam Komuniti


DEMAK LAUT, Kuching: Langkah awal penularan wabak pandemik COVID-19 penting untuk pastikan virus ini dapat dikawal penularannya di dalam komuniti.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni berkata, satu perkara yang sangat penting dalam membanteras virus ini daripada merebak ialah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan kerajaan.


Perkara ini telah diuar-uarkan sebelum ini untuk memastikan masyarakat sentiasa patuhi SOP sekaligus dapat menghindari jangkitan COVID-19. 


“Tangguh aktiviti ziarah atau berkunjung ke rumah orang lain buat sementara waktu dan jangan adakan aktiviti sosial seperti majlis keraian, majlis hari jadi, majlis tahlil, majlis kesyukuran atau apa-apa sahaja aktiviti berkumpul.


“Jaga kebersihan diri dengan kerap cuci tangan dan tutup mulut bila batuk atau bersin serta mandi terlebih dahulu apabila balik ke rumah sebelum bersama ahli keluarga yang lain.


“Jika perlu keluar rumah, guna pelitup muka berganda iaitu pelitup muka jenis fabrik dan juga pelitup muka tiga lapisan dengan betul sepanjang masa,” katanya semasa mengadakan Taklimat Kawalan Kes COVID-19 di Pusat Komuniti Kampung Selabat pada Rabu.


Begitu juga, sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk atau selsema, elakkan pergi ke tempat awam dan segeralah ke klinik untuk menjalani pemeriksaan COVID-19.


Sekiranya berumur 18 tahun ke atas dan belum lagi mendapatkan imunisasi COVID-19, segera datang ke klinik atau pusat vaksinasi berdekatan untuk suntikan vaksin.


Ketika ini jangkitan virus COVID-19 varian Delta telah berada dalam komuniti di mana ianya mudah berjangkit dalam masa yang lebih singkat berbanding varian sedia ada dan mudah menjangkiti orang lain.


Ujar Dr Hazland lagi, sekiranya kes positif telah dikenal pasti di kawasan kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu mengambil langkah berwaspada dan segera supaya jangkitan tidak merebak dalam komuniti.


“Tindakan seperti kawalan pergerakan dalam kampung, kawalan SOP dan kawalan penghuni rumah yang dikenakan kuarantin harus dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 


“Justeru, kerjasama semua pihak di kampung amatlah penting untuk mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan komuniti untuk mengelak kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” ujarnya.


Hadir sama Ketua Kaum Hasbie Luton dan Ahli JKKK Kampung Selabat.

No comments:

Post a Comment

Back To Top