Music

Header Ads

Thursday, July 26, 2018

Penubuhan GPS Langkah Terbaik Memperjuangkan Hak Dan Autonomi Sarawak


KUCHING - Langkah komponen parti politik tempatan Sarawak seperti parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) satu langkah tepat memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni berkata, sekiranya kita masih dalam gabungan BN atau mana-mana gabungan parti lain yang luar dari Sarawak maka kita akan tertakluk kepada perlembagaan parti itu dan ini menyukarkan kita mendapatkan hak Sarawak kembali.
"Keputusan komponen parti-parti politik Sarawak keluar BN dan menubuhkan GPS yang beridentiti bebas daripada parti 'Malaya' adalah amat tepat sekali dalam memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak. Ini kerana hanya parti dan rakyat Sarawak sahaja yang boleh melakukannya.
"Ini mengambil kata-kata Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem 'Hanya Orang Sarawak sahaja yang tahu bagaimana untuk menjaga negeri Sarawak'.
"Ini selaras dengan inspirasi Sabah dan Sarawak sebelum pembentukan Malaysia, yang mempunyai entiti berasingan selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berucap semasa mengambil perbahasan penghargaan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak semasa perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 di sini, Jumaat lepas.
Menurutnya lagi, pendekatan ini (menubuhkan GPS) yang berteraskan parti politik Sarawak adalah suatu pendekatan mesra yang diambil kerajaan dalam mengadakan kerjasama dengan Kerajaan PH.
"Hanya dengan cara ini, kita dapat menguruskan sumber semulajadi khususnya minyak dan gas dengan baik agar benar-benar dapat memberi manafaat sepenuhnya kepada rakyat Sarawak seperti penguatkuasaan undang-undang 'Oil Mining Ordinance 1958', 'Gas Distribution Ordinance 2016', 'Sarawak Land Code' dan MA63," ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Hazland menyeru seluruh rakyat Sarawak bersatu hati untuk memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan sekaligus menunjukkan kematangan rakyat Sarawak. 

Ini sangat penting kerana perpaduan serta kestabilan politik yang dicapai akan memudahkan lagi usaha untuk membangunkan Sarawak. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top