KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak digesa menyegerakan tindakan menyukat dan mengeluarkan geran hak milik tanah dengan secepat mungkin sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni berkata, ini kerana masih ada beberapa kes di kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang masih belum diselesaikan dalam memperoleh geran tanah biarpun beberapa usaha telah dilaksanakan.
"Masih ada beberapa kes tanah yang berkaitan menyukat dan mengeluarkan geran hak milik tanah di kawasan saya yang belum diselesaikan.
"Rakyat masih lagi mengharapkan agar permohonan mereka ini dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelak isu ini terus dipolitikkan," katanya
Beliau berucap semasa mengambil perbahasan penghargaan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak semasa perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 di sini, Jumaat lepas.
Beliau turut menyentuh mengenai kekurangan perumahan mampu milik di kawasan DUN Demak Laut biarpun kerajaan sebelum ini telah meluluskan tiga kawasan disebabkan pertumbuhan penduduk.
"Walaupun kerajaan sebelum ini telah meluluskan tiga kawasan perumahan mampu milik iaitu Pembangunan Semula Sejingkat, Muara Tabuan dan Muara Tebas, namun ianya masih belum mencukupi.
"Di sini saya mencadangkan kawasan Pembangunan Semula di Kampung Bako dan Kampung Tanjung Bako," tambahnya.
Mengenai keperluan asas, Dr Hazland mencadangkan diadakan perkhidmatan feri di kawasan Tanjung Embang.
"Kawasan saya memerlukan perkhidmatan feri untuk kegunaan kira-kira 3,000 penduduk di kawasan Tanjungg Embang yang terdiri dari Kampung Tiang Api, Kampung Beradek, Kampung Semilang, Kampung Beradek Cina, Kampung Sungai Pinang termasuk Kampung Bliong.
"Permohonan rasmi berhubung perkhidmatan feri ini telah pun diberikan kepada kementerian yang berkenaan," ujarnya.
Beliau turut meminta Kerajaan Negeri Sarawak mempertimbangkan dana khas kepada golongan B40 dalam usaha mengurangkan beban kewangan mereka.
"Mewujudkan dana khas untuk baik pulih rumah bagi golongan B40 dijangka akan membawa makna besar kepada mereka di samping dapat mengurangkan beban kewangan," katanya.
Turut dicadangkan insentif khas bulanan untuk golongan B40, insentif untuk setiap kelahiran, pakej khas pelan kesihatan, insentif khas untuk pelajar pelajar sekolah yang dalam golongan keluarga B40, insentif khas untuk pelajar-pelajar yang berjaya memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan insentif perkhidmatan bas percuma di sekitar bandar-bandar besar ikut masa bekerja yang boleh mengurangkan beban bayaran minyak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Selain itu, gejala sosial seperti penyalah gunaan dadah, judi haram dan keruntuhan akhlak moral harus juga ditangani dengan kadar segera.
No comments:
Post a Comment