Music

Header Ads

Tuesday, October 2, 2018

Golongan Belia Digesa Tidak Keliru Janji-Janji Parti 'Luar' Dalam Memperjuangkan Hak Rakyat Sarawak


KUCHING, 1 Oktober - Golongan muda khususnya belia dan pengundi muda diingatkan jangan terpedaya dan keliru dengan janji-janji yang diberikan parti-parti 'luar' Sarawak berkenaan mahu memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata PBB dan gabungannya iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) komite dalam memperjuangkan hak orang Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963. 


"PBB dan gabungannya iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang memperjuangkan hak orang Sarawak dan seterusnya memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Itu hak kita (rakyat Sarawak), jangan keliru, khususnya kepada belia-belia dan pengundi muda.
"Ingatlah, hak-hak kita dalam MA63 harus dikembalikan kepada kita rakyat Sarawak melalui parti PBB kita yang benar-benar berjuang demi Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Padang Futsal Kampung Tanjung Bako di sini, Ahad lepas.

Dr Hj Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut memberitahu Padang Futsal Kampung Tanjung Bako ini adalah salah satu projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Demak Laut pada tahun 2017.
"Ini adalah projek Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah program pembangunan DUN Demak Laut dengan kosnya sebanyak RM200,000.
"Kita akan naik taraf padang futsal ini dari semasa ke semasa," ujarnya.
Beliau turut memberitahu pada tahun ini sebanyak 5 buah projek pembinaan padang futsal telah pun diluluskan di kawasan DUN Demak Laut yang akan turut dibina pada tahun ini.
"Kesemua padang futsal di 5 buah kampung ini akan dan mesti disiapkan pada tahun ini.
"Antara kampung yang akan dibina padang futsal ini ialah Kampung Pinggan Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Semilang, Kampung Bako Hijrah dan Kampung Bako Hulu," katanya lagi.

Menyentuh mengenai ucapan Ketua Kaum Tanjung Bako Hj Rajidin bin Narawi yang bertanyakan projek pintu air, Dr Hj Hazland menjelaskan bahawa projek itu telah pun diluluskan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM150,000.
"Siapnya pintu air ini akan membolehkan padang futsal dan beberapa buah rumah tidak akan dimasuki air apabila air pasang.
"Projek tersebut merupakan projek yang diluluskan tahun ini dan mesti siap juga pada tahun ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Hj Hazland turut mencadangkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk untuk membina sebuah Pusat Khidmat Komuniti Kampung di Kampung Tanjung Bako ini.
"Difahamkan ada sebuah Rumah Wanita yang sudah tidak lagi digunakan dan saya mencadangkan agar dibina sebuah Pusat Khidmat Komuniti Kampung yang bernilai RM100,000.
"Sebelum ini, kita telah membina Pusat Khidmat Komuniti Kampung yang sama di Kampung Sejingkat, Kampung Senari dan tahun depan ada beberapa buah lagi akan dibina.
"Pusat Khidmat Komuniti Kampung ini nanti boleh digunakan wanita, JKKK, PBB, Seberkas dan apa-apa pertubuhan di dalam kampung ini bagi aktiviti seperti ceramah, taklimat, bengkel dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Dr Hj Hazland turut meminta JKKK Kampung Tanjung Bako mengemukakan permohonan bagi membina padang bola sepak dan gelanggang sepak takraw ke Pusat Khidmat DUN Demak Laut.
"Lokasi pembinaan gelanggang sepak takraw telah pun dikenal pasti iaitu bersebelahan dengan padang futsal.
"Sehubungan itu, saya meminta agar surat permohonan gelanggang sepak takraw dapat dihantar segera ke Pejabat Pusat Khidmat DUN Demak Laut.
"Mengenai padang bola sepak, saya difahamkan sebelum ini permohanan tersebut telah dikemukakan kepada Ahli Parlimen.
"Kerajaan Negeri Sarawak akan membina padang bola sepak di Kampung Tanjung Bako ini. Kita ada cukup dana utk melaksanakan segala kemudahan rakyat " katanya sambil meminta JKKK membuat permohonan rasmi mengenai permohonan kedua-dua projek tersebut sama ada padang sepak takraw atau padang bola sepak untuk diberi keutamaan terlebih dahulu.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan yang menang dalam Pertandingan Futsal Pemuda PBB 2018 yang telah diadakan di sini sejak 28 September lepas.
Sebanyak 20 pasukan telah menyertai pertandingan futsal ini dan merupakan buat julung kalinya diadakan di Kampung Tanjung Bako.

Turut sama hadir Ketua Kaum Kampung Tanjung Bako Hj Rajidin bin Narawi, Ketua Kaum Kampung Pinggan Jaya Abang bin Merawi dan Ketua Pemuda Ranting PBB Tanjung Bako Suzuki bin Puji. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top