KUCHING: Simbol burung Kenyalang yang sinonim dengan negeri Sarawak menjadi pilihan logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilancarkan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini, pagi tadi.
Majlis pelancaran logo GPS telah disempurnakan Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
“Hari ini 9 Januari hari yang bersejarah kepada negeri Sarawak apabila kita telah menubuhkan satu gabungan parti yang berasaskan daripada anak-anak Sarawak.
“GPS ini memimpin dan memberi hala tuju bagi kepentingan anak-anak Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia.
“Logo parti Sarawak yang menggunakan logo Burung Kenyalang lambang kepada negeri Sarawak. Maka kita akan sentiasa menjaga kepentingan negeri Sarawak,” katanya.
Hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Khien, Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato' Sri Tiong King Sing.
Mengenai warna-warna di dalam logo GPS ini, Abang Zohari menegaskan setiap warna itu mempunyai warna-warna tertentu.
“Warna merah melambangkan keluhuran Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak.
“Warna putih pula memberi makna keadilan yang berasaskan kepada undang-undang. Undang-undang adalah yang harus kita hormati.
“Ketiga, warna hitam. Ia memberi makna tonggak kepada penubuhan Gabungan Parti Sarawak,” tambahnya.
Logo GPS telah dicipta Voon Cherng Jyh yang sekaligus berjaya muncul juara dalam pertandingan mereka bentuk logo GPS yang diadakan sebelum ini.
GPS juga membawa makna parti Sarawak akan mempertahankan Sarawak dari sudut hak-haknya mengikut perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia dan Sarawak.
“Kita akan mempertahankannya mengikut lunas-lunas demokrasi dan memberi keadilan kepada semua masyarakat berbilang kaum dan agama di Bumi Kenyalang ini.
“Maka, GPS akan menjaminkan dan mempertahankan Burung Kenyalang yang kita cintai ini,” tegasnya.
Sementara itu, hadirin telah disajikan dengan lagu GPS yang membawa tema GPS Utamakan Sarawak dicipta oleh Narawi Rashidi.
Abang Zohari mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Pusat yang telah meluluskan entiti politik anak-anak Sarawak.
GPS akan terus membangunkan negeri Sarawak dalam era yang baru dengan memfokuskan nilai-nilai hidup, suci dan ekonomi seperti yang terdapat di Bumi Kenyalang ini.
No comments:
Post a Comment