Music

Header Ads

Saturday, March 9, 2019

Ramai Mahu Sertai Kursus Keusahawanan Digital DUN Demak Laut


KUCHING: Masih ramai di kalangan orang kampung mahu menyertai Kursus Keusahawanan Digital dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di Kampung Bako ini.

Menurut Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Bako Hulu, Mista Haji Jamri, 50 tahun, penganjuran kursus ini suatu yang sangat diperlukan ketika ini selepas menyedari pentingnya internet dan media sosial di kalangan masyarakat.

"Rata-rata yang mengikuti kursus hari ini mempunyai perniagaan sendiri, tetapi menjalankan secara kecil-kecilan dan menggunakan kaedah tradisional.

"Selain saya yang menjalankan perniagaan gerai makanan, ada di kalangan peserta yang menjalankan perniagaan seperti membuat roti, kuih muih dan lain-lain lagi.

"Hari ini, apa yang kita pelajari berkenaan media sosial telah membuka mata kami bahawa penggunaan media sosial kini menjadi satu tren dalam mempromosikan perniagaan dan produk jualan," katanya yang bercadang memperluaskan perniagaan pada masa akan datang selepas mengetahui kesan jangka panjang penggunaan media sosial dalam pasaran perniagaan.

Seramai 14 orang yang terdiri daripada ahli-ahli PBB dan orang kampung hadir di Kursus Keusahawanan Digital di Pusat Internet Kampung Bako Lot, pagi ini.

Kursus Keusahawanan Digital merupakan inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dalam melahirkan lebih ramai usahawan dan sekaligus memperbanyakkan produk keluaran usahawan DUN Demak Laut.

Mereka ini telah berjaya menamatkan kursus kemahiran dan dianugerahkan sijil penyertaan yang melayakkan mereka menyertai kursus yang lebih tinggi untuk menjadi usahawan berjaya.


Sementara itu, bagi Timbalan Ketua Wanita PBB Ranting Bako Hulu, Ramlah bte Lias, 53 tahun sebelum ini hanya mendengar sahaja mengenai pemasaran perniagaan di media sosial dan tidak tahu kelebihannya.

"Hari ini, selepas mengikuti kursus ini baharulah saya tahu menggunakan media sosial untuk memasarkan perniagaan adalah salah satu kaedah yang paling berkesan dan murah.

"Kita hanya perlu mengetahui cara kaedah yang ada seperti gambar, ayat promosi dan seterusnya mengaplikasinya di media sosial untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa kita membuat dan menjual produk berkenaan," katanya yang merupakan salah seorang pengusaha roti di Kampung Bako Hulu. 

Malah, sejak Jambatan Bako dibuka, setiap minggu orang ramai mula datang ke Kampung Bako untuk melihat apa yang boleh mereka dapatkan hasil daripada produk penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment

Back To Top