Music

Header Ads

Sunday, January 5, 2020

76 Pemilik Rumah DUN Demak Laut Terima Manfaat Projek PPRMS




KUCHING: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak amat signifikan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan mendiami kediaman yang selesa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak, Dr Hazland Abang Hipni berkata PPRMS ini telah banyak membantu kumpulan sasar dengan membaik pulih rumah daif dan tidak selamat untuk didiami. 

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, sebanyak 76 buah rumah PPRMS telah dilaksanakan dan dibaiki pada tahun 2018 dengan peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM1 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) milik Abdullah Ali bin Sait di Kampung Tabuan Lot pada Jumaat. 


PPRMS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg dalam membantu masyarakat mendiami rumah dalam keadaan selesa dan selamat. 

Dalam pada itu, Dr Hazland menambah bermula tahun 2020 Kerajaan Sarawak akan melaksanakan 7 inisiatif seperti yang terkandung dalam Bajet 2020 Sarawak dengan salah satunya bantuan sara hidup kepada nelayan pada musim tengkujuh.

“Seperti yang telah dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November lepas, Kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan sara hidup nelayan pada musim tengkujuh yang berjumlah RM300. 

“Selain itu, turut diberikan bantuan ialah peruntukan pembelian peralatan nelayan yang digunakan bagi menangkap ikan,” tambahnya. 

Untuk tujuan itu, sebanyak RM9.1 juta telah diperuntukkan kepada nelayan bagi pemberian elaun tunai ketika musim tengkujuh, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi bantuan peralatan.

No comments:

Post a Comment

Back To Top