Music

Header Ads

Wednesday, April 15, 2020

Syukur Bantuan Makanan Sarawakku Sayang Sampai Kepada Ketua Keluarga Di DUN Demak Laut


KUCHING: Gembira rasanya melihat masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menerima Bantuan Makanan Sarawakku Sayang dalam usaha mengurangkan beban rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata bantuan makanan ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada penduduk yang terkesan dalam pelaksanaan PKP. 

“Apabila saya melihat kegembiraan di wajah penerima bantuan makanan ini, perasaan saya cukup gembira kerana amanah dan tanggungjawab itu telah sampai kepada penerima.

“Ketika ini, semua orang berada dalam keadaan sukar di mana setiap bantuan yang diterima itu adalah suatu yang sangat dihargai untuk dinikmati.

“Jadi, sumbangan ini amat bermakna kepada setiap penerima dalam usaha kita memastikan setiap masyarakat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya semasa dihubungi media bagi mengulas pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang yang dihantar kepada penerima di Kampung Hijrah Bako baru-baru ini.


Dalam pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang itu, seramai 74 orang keluarga di Kampung Hijrah Bako menerima bantuan makanan ini. 

Sehingga hari ini, seramai 5,788 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah menerima Bantuan Makanan Sarawakku Sayang pemberian Kerajaan Sarawak. 

Dr Hazland yang juga Penyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pesisir Kuching, Samarahan dan Lundu meminta masyarakat untuk terus mengikuti dan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam tempoh PKP Fasa Ketiga bermula Rabu ini. 

“Hari ini, tempoh PKP Fasa Kedua berakhir dengan adanya kejayaan ke arah usaha pengurangan penularan wabak COVID-19 mengikut statistik yang dikeluarkan Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM).

“Esok Rabu, PKP Fasa Ketiga bermula sehingga 28 April dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19 secara berterusan untuk memastikan ianya dapat dikurangkan.

“Untuk itu, marilah sama-sama kita mematuhi arahan dengan duduk di rumah, amalkan jarak sosial, jaga kebersihan diri dan sentiasa guna penutup muka serta sentiasa guna hand sanitizer supaya penularan wabak COVID-19 dapat dibendung,” ujarnya. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hijrah Bako, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Hijrah Bako dan semua yang menjayakan pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang ini. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top