Music

Header Ads

Tuesday, July 21, 2020

Kenal Pasti, Bincang Dan Buat Tindakan Susulan Selesaikan Permasalahan Peringkat Kampung - Dr Hazland


DEMAK LAUT, Kuching: Segala perancangan akan diteruskan dan tindakan susulan akan diambil selepas mendapat reaksi daripada kepimpinan tertinggi  Jawatankuaa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mewakili penduduk kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata inilah tujuan pihaknya mengadakan dialog seperti ini bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku di peringkat kampung dan mencari jalan penyelesaian secara bersama. 

“Menerusi dialog seperti ini, saya mengetahui perkara yang berlaku dan menilai tindakan yang akan dilakukan selepas ini dengan mengambil kira cadangan dan pandangan kepimpinan tertinggi kampung.


“Pelbagai isu semasa kampung dapat dikenal pasti antaranya penyukatan lot, Projek Perumahan Spektra, infrastruktur, kebajikan dan sosioekonomi telah dibincangkan dengan panjang lebar.

“Perkara inilah yang saya mahukan supaya setiap isu dan permasalahan dapat dibincang dan cari jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan masyarakat kampung,” katanya semasa mempengerusikan Dialog Isu-Isu Semasa Kampung dan Persiapan Pilihan Raya Untuk Kepimpinan Tertinggi Kampung Muara Tebas baru-baru ini. 


Mengenai persiapan pilihan raya, Dr Hazland yang juga Ketua Cawangan PBB DUN Demak Laut meminta Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Muara Tebas mempersiapkan jentera khususnya data dan maklumat pengundi di peringkat kampung. 

“Jika JKKK bertanggungjawab dalam hal ehwal kampung, Ranting PBB pula bertanggungjawab dalam politik. 

“Justeru, Ranting PBB Muara Tebas perlu memperkemaskan data pengundi dan memastikan setiap isu di peringkat kampung perlu ditangani secara bijaksana dengan mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) yang lain di dalam kampung,” ujarnya. 


Selain JKKK dan Ranting PBB Muara Tebas, turut sama hadir Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ahli Jawatankuasa Masjid dan sebagainya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top