Music

Header Ads

Thursday, July 23, 2020

Dr Hazland Sokong Pembentukan SMC Demi Kepentingan Dan Keutamaan Rakyat Di Sarawak


KENYATAAN MEDIA
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) DEMAK LAUT
PENGAMAL PERUBATAN DI SARAWAK
DR HAZLAND ABANG HIPNI

1.  Saya melihat cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Dr Prof Sim Kui Hian di dalam media cetak tempatan dan berita atas talian baru-baru ini mengenai pembentukan Majlis Perubatan Sarawak (SMC) adalah suatu yang baik dan perlu difikirkan secara serius.

2. Sudah tiba masanya, Sarawak perlu bertegas dalam memastikan kepentingan rakyat Sarawak diutamakan dan masyarakatnya juga perlu mendapat perhatian yang sewajarnya di bawah satu negara Malaysia.

3. Cadangan penubuhan SMC, ia perlu beroperasi secara bebas dan tidak terikat kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Ini untuk memastikan kepentingan doktor tempatan Sarawak dijaga dengan adil sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa amalan perubatan di Sarawak.

5.  Cadangan ini amat perlu berdasarkan situasi semasa dan keperluan dalam Autonomi Perubatan Sarawak sebagai jalan penyelesaian terbaik ke atas diskriminasi dan ketidakpedulian Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) terhadap kakitangan perubatan Sabah dan Sarawak.

6. Dalam hal ini, KKM dan JPA tidak melihat keperluan sebenar rakyat Sarawak dalam bidang perubatan apabila hanya menawarkan kekosongan jawatan doktor yang sedikit daripada kalangan anak tempatan Sarawak.

7. Lebih memburukkan keadaan apabila ada di kalangan doktor dari Semenanjung yang ditawarkan berkhidmat di Sarawak enggan berkhidmat di Sarawak dan jawatan ini tidak ditawarkan kepada anak tempatan Sarawak. Ini telah merenjatkan lagi proses dan situasi semasa perubatan di Sarawak.

8. Satu lagi situasi yang mungkin tidak difikirkan MMC apabila kebanyakan doktor yang berkhidmat di Sarawak ini apabila tiba masanya mereka akan pulang ke kampung halaman mereka di Semenanjung dan menyebabkan hilang perkhidmatan untuk rakyat Sarawak.

9. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila MMC hanya diwakili seorang sahaja dari Sarawak dan Sabah itu pun menerusi kuota berbanding jumlah keseluruhan anggota seramai 33 orang. Sebaliknya, jawatan di dalam MMC itu perlu selari dengan jumlah penduduknya dan keperluan semasa.

10. Ini menyebabkan kebanyakan keputusan berkaitan perubatan yang penting tidak mengambil kira keperluan dan kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah, hanya mementingkan masyarakat di Semenanjung Malaysia sahaja.

11. Sarawak amat memerlukan lebih banyak pakar perubatan di hospital awam di Sibu, Bintulu dan Miri selain Kuching. Ada di kalangan rakyat yang terpaksa mendapatkan rawatan pakar di Kuching di mana di tempat mereka tidak mempunyai kepakaran seperti di Limbang dan Lawas yang terpaksa pergi ke Miri dan Kuching untuk menerima rawatan, dan ini memerlukan kos dan masa.

12. Juga, nisbah doktor pakar dengan jumlah keseluruhan rakyat Sarawak 2.81 juta pada suku tahun pertama 2019 dilihat tidak cukup seperti dalam bidang neurologi, obstetrik dan ginekologi dan lain-lain.

13. Justeru, saya menyokong cadangan untuk menubuhkan SMC selepas mengambil kira keperluan dan kepentingannya untuk rakyat di Sarawak dan apa yang penting hak rakyat Sarawak tetap diutamakan sampai bila-bila.

-TAMAT-

No comments:

Post a Comment

Back To Top