Music

Header Ads

Saturday, July 4, 2020

Kerajaan Sarawak Laksanakan Pembangunan Seperti Dimahukan Rakyat


KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat khususnya dalam aspek pembangunan di peringkat kawasan.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, atas sebab itu Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan mengikut kehendak dan permohonan rakyat. 

“Di Kampung Selabat, misalnya, Projek RTP 2019 Bina Baru Sistem Perparitan Kampung Selabat Fasa 2 yang bernilai RM150,000 dan Projek Bina Jalan Gravel di Lot Baru Kampung Selabat berjumlah RM100,000 yang merupakan permohonan daripada masyarakat kampung telah pun siap. 

“Manakala, Projek Bina Baru Rumah Komuniti Kampung Selabat yang bernilai RM100,000 akan dilaksanakan dalam masa terdekat. 

“Bagi Projek RTP 2020, Baik Pulih Rumah Wanita Kampung Selabat yang bernilai RM30,000 kini dalam proses tender. Jumlah keseluruhan Projek RTP tersebut berjumlah RM380,000,” katanya selepas menyampaikan Sumbangan Dana Tahunan JKKK Kampung Selabat pada Khamis.


Dalam pada itu, Dr Hazland membidas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan peruntukkan RTP yang bernilai RM5 juta setahun itu disalurkan kepada ADUN adalah tidak benar dan mempunyai niat untuk memburukkan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Semua permohonan RTP di peringkat DUN dipohon menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

“Setiap permohonan akan dibawa ke jawatankuasa untuk dinilai dan ditapis dengan mendahulukan projek yang mengikut keutamaan berdasarkan jumlah peruntukkan tahunan sebanyak RM5 juta.

“Setiap projek yang diluluskan jawatnkuasa akan diserahkan kepada Pejabat Daerah untuk proses cabutan undi seperti yang diamalkan sebelum ini dan bukannya diserahkan kepada ADUN sepeti yang didakwa. 

“Sebaliknya, ADUN hanya bertindak sebagai penyelaras permohonan sehingga lulus dan memantau projek bagi memastikan kontraktor melaksanakan projek mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan dalam tender,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Selabat Hasbi bin Loton menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Hazland di atas penyampaian dana tahunan ini. 


“Bagi pihak JKKK Kampung Selabat, saya mengucapkan terima kasih kepada Dr Hazland yang telah memberikan dana tahunan bagi mengelola dan mengadakan aktiviti di peringkat kampung.

“Dana ini akan kita manfaatkan sepenuhnya bagi memastikan hasrat ADUN Demak itu dapat direalisasikan,” katanya.

Turut hadir Penghulu Ali bin Matsah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK Kampung Selabat dan PBB Ranting Selabat. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top