KUCHING: Rakyat diminta untuk terus mengamalkan langkah pencegahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini bagi menghapuskan COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, walaupun kes positif COVID-19 ini berkurangan, tetapi usaha untuk menghapuskannya masih jauh dan memerlukan kerjasama semua pihak.
“PKP telah mengajar kita erti bekerjasama dan perpaduan di mana setiap rakyat mengikuti arahan yang diberikan bagi sama-sama mengekang penularan wabak COVID-19 ini.
“Kerajaan hari ini sama ada di Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berusaha keras memastikan wabak COVID-19 ini dapat kita hapuskan menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Hasilnya, kini telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dan kini dalam proses pemulihan. Bagaimanapun, usaha ini perlu kita teruskan dan jangan alpa kerana COVID-19 berada di mana-mana serta boleh menjangkiti sekiranya kita mengendahkan SOP dan bersikap sambil lewa,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan Dana Tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Mesra Bako pada Rabu.
Mengenai penduduk di Taman Mesra Bako ini, Dr Hazland memberitahu penduduk perlu bersyukur kerana mempunyai sebuah kawasan penempatan yang selesa dan moden untuk didiami.
“Taman Mesra Bako adalah satu penempatan baru dan moden di bawah Projek Perumahan Rakyat.
“Malah, Kerajaan Sarawak juga sentiasa mahu memastikan setiap masyarakatnya mendapat kehidupan yang baik dan sejahtera,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kaum Taman Mesra Bako Iswandy bin Murshidi ketika ditemui berkata, pihaknya akan menggunakan sebaik-baiknya sumbangan ini untuk keperluan masyarakat di sini.
“Terima kasih kepada Dr Hazland di atas sumbangan bantuan dana kepada JKKK Taman Mesra Bako pada tahun ini.
“Kami JKKK Taman Mesra Bako akan menggunakan sebaik-baiknya dana ini untuk mengelola program dan aktiviti yang bermanfaat kepada penduduk di taman ini,” katanya.
Hadir sama Penghulu Hj Lair Salleh dan beberapa orang Ahli JKKK dan PBB Ranting Taman Mesra Bako. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment