KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM70 juta bagi menanam tukun tiruan dari Sematan ke Lawas suatu keputusan yang tepat untuk meningkatkan hasil laut dan sosioekonomi penduduk terutamanya nelayan di kawasan perairan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini terbukti apabila nelayan-nelayan di kawasan Sematan dan Tengah Sarawak sebelum ini berjaya memperolehi tangkapan hasil yang lumayan hasil daripada penanaman tukun tiruan.
“Tukun-tukun tiruan ini akan ditanam di dasar laut bagi membolehkan hidupan laut hidup dan membiak sekaligus meningkatkan jumlah ekosistem laut.
“Ini sekaligus dapat meningkatkan jumlah tangkapan ikan dan hasil laut sehingga tiga kali ganda daripada sebelum ini,” katanya selepas bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg melepaskan Tukun Tiruan di Perairan Muara Tebas - Sebuyau pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Hazland menambah, tukun tiruan ini juga dapat menghindarkan penggunaan pukat tunda sering digunakan kapal-kapal besar yang boleh mengancam hidupan di dasar laut.
“Dengan menggunakan kaedah tukun tiruan ini, ia akan dapat menghindarkan kapal-kapal yang menggunakan pukat tunda.
“Pukat tunda ini akan hancur dan musnah apabila terlekat pada tukun tiruan yang berat sekaligus memelihara hidupan laut di dasarnya,” tambahnya.
Sebanyak 1,200 tukun tiruan ditanam di dasar laut di sepanjang perairan Muara Tebas - Sebuyau yang mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment