DEMAK LAUT, Kuching: Selain kebersihan persekitaran, pencahayaan yang cukup baik juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan selamat terutamanya di Taman Sepakat Jaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, Taman Sepakat Jaya telah terpilih dalam pelaksanaan Program Bandaraya Selamat anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi mengurangkan jenayah dengan menaik taraf sistem pencahayaan dan pemasangan lampu yang menelan kos sebanyak RM211,800.
“Pertambahan penduduk juga telah meningkatkan gejala-gejala yang negatif dan kes jenayah.
“Oleh itu, DBKU melalui inisiatif Program Bandar Selamat dengan kos sebanyak RM211,800 bagi pemasangan 35 lampu limpah di seluruh kawasan Taman Sepakat Jaya,” katanya ditemui media selepas Majlis Penyerahan Lampu Limpah Padang Futsal, di Taman Sepakat Jaya, Kuching kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Hazland turut memaklumkan beberapa projek lain telah dilaksanakan di kawasan tersebut antaranya Projek Penutup Parit dan Longkang dengan kos sebanyak RM310,000 dan sudah siap, membina Padang Takraw dengan kos sebanyak RM100,000 dan naik taraf surau dengan kos RM50,000 yang kini sedang dalam pembinaan.
Tambah beliau lagi, pada tahun ini, tiga lagi projek akan dilaksanakan iaitu projek Membaik Pulih Dewan dengan kos RM200,000, Projek Membina Pusat Komuniti dengan kos RM100,000 dan Projek Baik Pulih Padang Futsal dengan kos RM50,000.
Turut hadir sama adalah Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan DBKU, Rudzaimer Malek dan Ketua Kaum Abdul Rahman Basri. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment