Music

Header Ads

Saturday, December 19, 2020

KJM Berjaya Membentuk Generasi Baharu Yang Lebih Bertanggungjawab Dan Berdisiplin


DEMAK LAUT, Kuching: Penubuhan Kejiranan Mesra (KJM) di peringkat kampung telah berjaya mengubah persepsi masyarakat ke atas kehidupan bermasyarakat di peringkat kampung dan taman perumahan.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, KJM telah berjaya membentuk generasi baharu dengan sikap yang bertanggungjawab dan berdisiplin khususnya dalam memupuk perpaduan dan keselamatan bersama.


“Tahniah dan syabas kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana telah mengangkat martabat KJM sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) yang prihatin terhadap kerjasama dan perpaduan antara penduduk.



“Penubuhan KJM ini secara tidak langsung telah berjaya memupuk perasaan kasih sayang dan sikap tanggungjawab dalam kalangan individu dan masyarakat sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim antara jiran dan mempertingkatkan suasana harmoni dalam masyarakat,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui bagi mengulas peranan KJM selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Kejiranan Mesra (KJM) 2020 yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada Khamis. 



Mengulas lebih lanjut, sehingga kini DBKU telah berjaya menubuhkan  KJM di hampir keseluruhan kawasan pentadbirannya. 


“Sehingga kini sebanyak 50 KJM telah ditubuhkan di beberapa buah kawasan di bawah pentadbiran DBKU.


“Dengan KJM ini juga setiap kampung atau taman perumahan yang mempunyainya nampak aktif seperti penganjuran program kemasyarakatan yang turut disertai pelbagai lapisan masyarakat terutama generasi muda,” ulasnya. 


Pada majlis itu KJM Kampung Senari dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah dinobatkan Anugerah KJM 2019 bagi Kategori Kebersihan yang membawa pulang hadiah RM2,000. -BULETIN DEMAK LAUT

No comments:

Post a Comment

Back To Top