DEMAK LAUT, Kuching: Penduduk yang tinggal di kawasan tebing sungai perlu meningkatkan tahap keselamatan harta benda dan nyawa bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku pada musim banjir ini.
Perkara ini ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni selepas mengadakan pemantauan banjir di beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Jumaat.
“Penduduk yang kediaman mereka sebelum ini mudah dinaiki air diminta mengambil tindakan berjaga-jaga bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Buat tindakan segera dengan menyimpan barangan berharga dan dokumen penting di tempat selamat.
“Keadaan hujan yang dijangka akan berterusan dalam tempoh beberapa hari lagi pastinya mengundang langkah berjaga-jaga daripada semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Hazland turut menyeru setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi melakukan pemantauan supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“KMKK dan JKKK perlu bersama dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam memastikan keadaan kampung terkawal.
“Di samping itu, penduduk turut diminta berhati-hati semasa banjir terutama melibatkan arus elektrik dan binatang liar. Pastikan suis utama ditutup sekiranya berlakunya banjir.
“Sekiranya banjir surut, pastikan rumah dibersihkan daripada kotaran bagi mengelak jangkitan bakteria dan virus seperti kencing tikus. Diingatkan sewaktu melakukan pembersihan guna kasut getah yang bersesuaian untuk keselamatan,” tambahnya.
Terdahulu, beberapa kawasan di bandaraya Kuching telah mengalami banjir pada Khamis disebabkan hujan berterusan dan air pasang.
No comments:
Post a Comment