Music

Header Ads

Monday, April 12, 2021

PBB DUN Demak Laut Bersedia Hadapi PRN Sarawak Ke 12 Dalam Norma Baharu


DEMAK LAUT, Kuching: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut kini bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, biarpun PRN Sarawak kali ini diadakan dalam norma baharu pihaknya tetap bersedia dari segi fizikal dan mental bagi memastikan kawasan DUN Demak Laut terus menjadi kubu kuat kepada PBB dan Gabungan Parti Sarawak. 


“Apa yang saya lihat pada hari ini (Ahad) rata-rata ahli PBB di peringkat ranting DUN Demak Laut kini telah dalam keadaan siap sedia menghadapi pilihan raya. 



“Malah, jentera kita akan turut dibekalkan dengan maklumat yang betul dan sahih seperti senarai projek kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan di DUN Demak Laut, Inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari di Sarawak dan Manifesto GPS. 


“Pada pilihan raya kali ini, kita juga akan menggunakan kempen dalam norma baharu yang memberi fokus kepada penggunaan media khususnya media sosial,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Program Kursus Pilihan Raya DUN Demak Laut di Ibu Pejabat PBB Sarawak pada Ahad. 



Ketika ini jumlah pengundi berdaftar di DUN Demak Laut sehingga Disember 2020 ialah 14,680. 


Dr Hazland yang juga Ketua Cawangan PBB DUN Demak Laut juga mahu setiap ahli PBB DUN Demak Laut terus menyantuni rakyat dengan memberi maklum mengenai keadaan yang berlaku di kawasan masing-masing. 



“PBB DUN Demak Laut tidak hanya bergerak menjelang pilihan raya sebaliknya kita telah bekerja dari awal lagi sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya DUN Sarawak Ke 11 lepas. 


“Kita juga membuat kerjasama yang baik dengan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) di peringkat kampung untuk memastikan masyarakatnya mendapat manfaat bersama,” ujarnya. 


Untuk rekod, pada PRN Sarawak Ke 11 pada tahun 2016, Dr Hazland telah berjaya memenangi DUN Demak Laut dengan majoriti 7,382 undi apabila memperoleh 8,539 undi dan menewaskan pencabarnya Mohamad Fidzuan Zaidi dari Amanah yang hanya memperoleh 1,157 undi. 



Mengulas lanjut mengenai penganjuran program ini, Dr Hazland mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir kerana berjaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak dalam mengekang penularan wabak COVID-19. 


Ujarnya, program ini telah lama dirancang untuk diadakan dan kelulusan yang diberikan untuk tidak diadakan dalam skala kurang daripada 100 orang, sentiasa mengguna pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, menyukat suhu badan dan menggunakan pembersih tangan untuk memastikan sentiasa bersih.

No comments:

Post a Comment

Back To Top