Music

Header Ads

Monday, July 19, 2021

2,500 KIR Kampung Tabuan Melayu Terima Bantuan Makanan, 5,900 Penduduk Jalani Ujian Calitan COVID-19


DEMAK LAUT, Kuching: Sebanyak 2,500 bantuan makanan telah diagihkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Tabuan Melayu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni bantuan makanan ini melibatkan enam buah kampung iaitu Kampung Lot, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Tengah, Kampung Tabuan Lama, Kampung Tabuan Ulu dan Kampung Tabuan Dani.


“Keenam-enam buah kampung yang terletak di dalam Kampung Tabuan Melayu ini dikenakan PKPD bermula 16 Julai hingga 29 Julai 2021. 


“Ini selepas diadakan saringan Pengesanan Kes COVID-19 Aktif (ACD) pada 11 hingga 13 Julai 2021 yang didapati 26 kes positif COVID-19.


“Sehingga kini sebanyak 125 kes positif telah dikesan dengan kesemua kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan CAC Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pengagihan bantuan makanan kepada penduduk Kampung Tabuan Melayu pada Sabtu. 



Turut sama membantu mengagihkan bantuan makanan ini ialah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).


Dalam memastikan pelaksanaan PKPD di Kampung Tabuan Melayu berjalan lancar, sebanyak 7 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan yang dikawal anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 


Mengulas lanjut, Dr Hazland memberitahu bermula Jumaat lepas 5,900 penduduk di enam buah kampung tersebut telah menjalani ujian calitan COVID-19 pertama di Dewan Tabuan Lot. 


“Ini bermula dengan Kampung Tabuan Hilir dan Kampung Tabuan Lama yang merangkumi Zon 1 hingga 9 dengan jumlah populasi seramai 1,500 orang.


“Manakala pada Ahad, giliran penduduk di Kampung Tabuan Arbi, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Lama (penduduk yang belum hadir) dan Kampung Tabuan Cemerlang (Zon 10) yang dianggarkan 1,500 menjalani ujian calitan COVID-19 pada sebelah pagi dan 700 penduduk di Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Lot turut sama menjalani ujian calitan COVID-19 pada sebelah petang. 



“Sementara, pada Isnin, 1,500 penduduk di Kampung Tabuan Ulu dan Kampung Dani turut sama menjalani ujian calitan COVID-19 dan diikuti 700 penduduk Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Lot pada sebelah petang,” ujarnya. 


Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk di Kampung Tabuan Melayu ini hadir dan mengikuti arahan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalani ujian calitan COVID-19 serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19.

No comments:

Post a Comment

Back To Top