Music

Header Ads

Tuesday, July 13, 2021

Program ACD Di Kampung Tabuan Lot Dan Kampung Tabuan Tengah, Hampir 4,000 Jalani Ujian Calitan COVID-19


DEMAK LAUT, Kuching: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mengadakan Program Pengesanan Kes Aktif (ACD) di dua buah kampung iaitu Kampung Tabuan Lot dan Kampung Tabuan Tengah sepanjang 4 hari bermula Ahad hingga Rabu melibatkan hampir 4,000 orang penduduk. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, pelaksanaan ACD di dua kampung ini susulan daripada peningkatan kes yang berlaku pada minggu lepas. 


“Alhamdulilah, kita telah berjaya menjalankan Program Pengesanan Kes Aktif (ACD) di dua buah kampung iaitu Kampung Tabuan Lot dan Kampung Tabuan Tengah. Ini disebabkan terdapatnya peningkatan kes di kedua-dua kampung ini. 


“Setakat ini telah dilaporkan 30 lebih kes berlaku dalam minggu lepas. Jadi, langkah seterusnya adalah untuk mencari kes-kes lain yang kita tidak ketahui. 


“Program ACD ini dijalankan KKM selama 4 hari bagi menguji lebih kurang 4,000 penduduk di dua buah kampung tersebut,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Kampung Tabuan bagi meninjau perjalanan Program ACD pada Isnin. 



Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata, pendekatan yang dilaksanakan KKM dalam Program ACD ini secara besar-besaran sangat baik bagi mengenal pasti kes positif COVID-19 secara terus. 


“Berbeza pada Program ACD yang pernah dilaksanakan sebelum ini dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kali ini tiada arahan kuarantin dan tiada gelang ‘pink’.


“Mengambil kira 4 hari Program ACD ini, setiap hari KKM akan melaksanakan ujian calitan COVID-19 lebih kurang 1,000 orang sehari melibat semua penduduk sama ada besar atau kecil.


“Justeru, penduduk di kedua-dua kampung diminta memberikan kerjasama bagi memastikan kes aktif COVID-19 dikenal pasti dan mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top