Music

Header Ads

Thursday, August 23, 2018

3 Ekor Lembu Disembelih Serentak Di Pangkalan Sungai Tapang


KUCHING, 23 Ogos - Sebanyak tiga ekor lembu disembelih serentak di Pengkalan Sungai Tapang, di sini, semalam.
Tiga ekor lembu itu adalah sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni kepada penduduk-penduduk di Kampung Semilang, Kampung Beradek dan Kampung Muhibbah. 
Lembu Kampung Semilang telah disembelih terlebih dahulu dan diikuti lembu bagi Kampung Beradek dan Kampung Muhibbah.

Penduduk ketiga-tiga kampung melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ADUN Demak Laut di atas keprihatinannya menyumbangkan seekor lembu bagi setiap kampung bersempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Salah seorang penduduk yang namanya enggan dikenali dari Kampung Semilang berkata, beliau berasa gembira kerana tahun ini kampung mereka dapat menerima sumbangan lembu untuk dikorbankan walaupun kampung mereka terletak di seberang Sungai Balang.
"Biarpun kampung kami terletak di seberang sungai, tetapi wakil rakyat DUN Demak Laut Dr Hazland ada memberikan sumbangan lembu untuk dikorbankan pada tahun ini.
"Ini membuktikan bahawa wakil rakyat ini cukup prihatin kepada kami yang tinggal di seberang Sungai Balang ini.
"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Dr Hazland di atas ingatan beliau terhadap kami untuk sama-sama merasai kenikmatan Hari Raya Aidiladha," katanya.

Salah seorang penduduk Kampung Muhibbah yang mahu dikenali sebagai Sulaiman berkata, biarpun panas penduduk tetap menunggu dengan sabar kedatangan lembu untuk dikorbankan pada tahun ini.
"Cuaca panas ketika ini tidak menghalang kami sebagai penduduk Kampung Muhibbah untuk menjalankan ibadah korban pada kali ini.
"Kami terpaksa mengadakan upcacara sembelihan di Pangkalan Sungai Tapang memandangkan kesukaran untuk membawa lembu itu ke seberang.
"Selepas disembelih, daging-daging lembu ini akan potong dan dibawa ke Kampung Muhibbah dengan menggunakan perahu untuk dilapah dan dibersihkan sebelum diagihkan kepada penduduk kampung," ujarnya.

Begitu juga dengan Razali yang berasal dari Kampung Beradek melahirkan rasa syukur kerana pada tahun ini mereka menerima lembu untuk dikorbankan daripada ADUN Demak Laut.
"Biarpun kami tinggal di seberang Sungai Balang ini, wakil rakyat kami masih ingat kepada kami untuk merasai kenikmatan Hari Raya Aidiladha.
"Sebelum ini, kami banyak mendengar dan melihat kampung-kampung lain melaksanakan ibadah korban ini. Dan, hari ini kami sendiri dapat menikmati suasana ini sebagaimana kampung lain," katanya. 

Lembu-lembu ini merupakan sumbangan ADUN Demak Laut Dr Hazland bagi aktiviti ibadah korban pada tahun ini. 
Sebanyak 8 ekor lembu telah diagihkan kepada 8 buah kampung di sekitar kawasan DUN Demak Laut. 

Turut hadir Penghulu Kampung Muhibah, Ketua Ranting PBB Kampung Semilang, Beradek dan Muhibbah, Ketua Pemuda Ranting PBB Kampung Semilang dan Beradek dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting PBB Kampung Semilang, Beradek dan Muhibbah.

No comments:

Post a Comment

Back To Top