KUCHING - Program Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan diperkenalkan di Zon Tabuan dan Persatuan Ibu Tunggal Kawasan DUN Demak Laut pula akan dipergiatkan lagi fungsi dan peranannya selepas ini, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N5 Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni.
Ketika ini jumlah warga emas meningkat termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. Dengan adanya tahap penjagaan kesihatan yang lebih baik, purata umur lelaki sehingga 74 tahun dan wanita pula purata sekitar 76 tahun.
"Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai satu program kepada warga emas yang dikenali sebagai 'Program Aktiviti Warga Emas' atau dalam singkatannya PAWE.
"Dengan jumlah warga emas yang semakin meningkat, saya bercadang menubuhkan PAWE di kawasan Zon Tabuan yang merangkumi beberapa buah kampung di sini.
"Dengan adanya PAWE, warga emas boleh meningkatkan ekonomi keluarga mereka dengan melaksanakan projek-projek ekonomi. Sebagai contoh, projek pembungkusan seperti keropok, kuih, makanan dan sebagainya. Mereka ini dibayar gaji. Untuk itu, warga emas akan memperoleh faedah ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan PBB N5 Demak Laut kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam Zon Tabuan di Masjid Darus Saadah Kampung Tabuan Melayu di sini, Sabtu lepas.
Justeru, Penghulu dan Ketua Kaum di Zon Tabuan ini diminta untuk membuat banci di kampung masing-masing bagi bertanyakan mereka yang berminat menyertai PAWE ini.
Dr Hazland turut menjelaskan Persatuan Ibu Tunggal Demak Laut yang telah dirasmikan dua tahun lepas akan dipergiatkan lagi fungsi dan peranannya dalam membantu meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.
Beliau sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti Persatuan Ibu Tunggal Demak Laut.
"Sehingga kini jumlah ibu-ibu tunggal di kawasan Demak Laut ini dianggarkan berjumlah seribu lebih orang. Jumlah ini sangat ramai dan kita amat prihatin kepada nasib mereka dalam menyara keluarga tanpa adanya suami atau ketua keluarga.
"Ibu-ibu tunggal ini boleh menggunakan pejabat Pusat Khidmat DUN Demak Laut di Sejingkat sebagai tempat untuk mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menjana peluang ekonomi mereka.
"Dalam pada itu, ibu-ibu tunggal ini kita akan mereka sertai program-program anjuran Pergerakan Wanita PBB DUN Demak Laut iaitu program persijilan Membuat Makanan Sejuk Beku 'Frozen Food' yang boleh digunakan bagi membuka perniagaan.
"Mereka ini juga akan diberikan latihan dan seterusnya Kursus Perniagaan Atas Talian atau 'Online Marketing' yang berkaitan Ekonomi Digital. Ketika ini kita ada mempunyai dua pusat internet di Bako dan Taman Sepakat Jaya yang boleh digunakan untuk melatih peserta mengenai Kursus Perniagaan Atas Talian.
"Mereka juga akan turut diberikan Kursus Asas Keusahawanan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan berjaya," ujarnya lagi.
Manakala, bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), kita juga mempunyai satu program yang dipanggil Pusat Didikan Komuniti (PDK).
"Di PDK ini, anak-anak OKU akan diajar kemahiran membaca dan menulis selain melatih mereka untuk bergerak dan berdikari.
"Ketika ini di Zon Tabuan masih belum mempunyai PDK, tetapi jumlah OKU di sini telah mencecah belasan orang.
"Dengan adanya kewujudan PDK ini dijangka mampu untuk memberikan kemudahan kepada OKU ini untuk merasai kehidupan yang lebih baik," katanya lagi.
Sementara itu, bagi anak-anak yatim mereka perlu fokus kepada usaha mendapatkan seberapa banyak ilmu yang boleh dijadikan bekalan untuk melanjutkan pengajian di IPTA pada masa akan datang.
"Ikut dan jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi sebagai dorongan untuk turut berjaya suatu ketika kelak," ujarnya.
Turut hadir Ketua Kaum Kampung Tabuan Hilir Haji Ramli bin Salleh, Ketua Ranting Tabuan Lama Jali bin Abang, Ketua Ranting Tabuan Hilir Jarni bin Osen, Ketua Ranting Tabuan Selipar Putus dan Cemerlang Haji Sedek Deris, Ketua Ranting Tabuan Tengah Amzah Haji Dollah dan Yang Dipertua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia Ismail bin Ali.
No comments:
Post a Comment