Music

Header Ads

Monday, August 13, 2018

Semua ADUN GPS Diminta Hantar Senarai Projek RTP Bagi Tempoh 2 Tahun Selewat-Lewatnya November Ini - ADUN Demak Laut


KUCHING - Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah diminta untuk menyenaraikan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing bagi tempoh dua tahun iaitu 2019 sehingga 2020.
ADUN N5 Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni berkata, jabatan yang dipertanggungjawab dalam menyelia Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam mesyuarat yang diadakan Jumaat lepas telah meminta setiap ADUN mengemukakan permohonan RTP bagi tempoh dua tahun iaitu 2018 hingga 2019 selewat-lewatnya bulan November ini. 
"Semalam (Jumaat), kita telah bermesyuarat dengan pihak yang bertanggungjawab dalam menjaga RTP dan telah diminta untuk memberikan senarai permohonan baru projek-projek pembangunan yang diperlukan untuk dimasukkan dalam senarai RTP bagi tempoh 2 tahun sekaligus (2019-2020).
"Tarikh tutupnya adalah bulan November ini dan bermakna senarai projek pembangunan tersebut perlu dihantar selewat-lewatnya hujung bulan Oktober ini kepada Pusat Khidmat ADUN N5 Demak Laut," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan PBB N5 Demak Laut kepada warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam Zon Tabuan di Masjid Darus Saadah Kampung Tabuan Melayu di sini, Sabtu lepas.
Dalam pada itu, Dr Hazland meminta Ranting-Ranting PBB dan ketua-ketua masyarakat di kawasan Tabuan ini berbincang bagi mengenal pasti projek-projek pembangunan yang boleh dikemukakan kepada ADUN Demak Laut untuk dimasukkan dalam senarai RTP DUN Demak Laut bagi tempoh 2019-2020.
"Di kawasan Tabuan ini masih ada kampung yang tidak mempunyai dewan serbaguna atau dewan masyarakat dan padang futsal.
"Justeru, jika ada di kalangan penduduk yang mempunyai tanah untuk diwakafkan bagi membina dewan dan padang futsal, saya amat mengalu-alukannya.
"Di sini, saya akan simpan permohonan membina dewan dengan nilai RM500,000 di kawasan Tabuan. Begitu juga dengan padang futsal, saya akan memasukkan projek tersebut dalam RTP dengan nilai RM200,000 bersekali dengan pagar dan lampu," tambahnya lagi.
Justeru, beliau meminta setiap kampung di Zon Tabuan seperti Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Lama, Kampung Tabuan Melayu, Kampung Tabuan Dani, Kampung Tabuan Lot dan Kampung Tabuan Tengah ini berbincang mengenai keperluan projek yang diperlukan untuk dimasukkan dalam senarai RTP 2019-2020.
Dr Hazland turut memberitahu berita baik kepada penduduk Kampung Tabuan Lama di mana satu Projek Perparitan di bawah RTP yang berjumlah RM300,000 telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun ini. 
Mengenai keperluan jambatan yang diminta penduduk di Kampung Tabuan Dani, beliau akan memasukkan ke dalam senarai RTP 2019-2020.
"Saya akan menulis surat kepada Ahli Parlimen Santubong bagi memaklumkan bahawa permohonan pembinaan jambatan di Kampung Tabuan Dani akan dimasukkan dalam senarai RTP DUN Demak Laut.
"Kita ada peruntukkan RM5 juta setahun untuk menjalankan projek-projek pembangunan di kawasan DUN Demak Laut. Dan, senarai terbaru bagi tempoh dua tahun itu melibatkan RM10 juta," katanya. 

Terdahulu, Pusat Khidmat ADUN Demak Laut telah membawa bersama ketua-ketua masyarakat di kawasan DUN Demak Laut bagi mendengar taklimat berkenaan dengan Projek Transformasi Luar Bandar atau Rural Transformation Project (RTP) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Ibu Pejabat JKR Bahagian Kuching baru-baru ini. 
Turut hadir Ketua Kaum Kampung Tabuan Hilir Haji Ramli bin Salleh, Ketua Ranting Tabuan Lama Jali bin Abang, Ketua Ranting Tabuan Hilir Jarni bin Osen, Ketua Ranting Tabuan Selipar Putus dan Cemerlang Haji Sedek Deris, Ketua Ranting Tabuan Tengah Amzah Haji Dollah dan Yang Dipertua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia Ismail bin Ali.

No comments:

Post a Comment

Back To Top