Music

Header Ads

Tuesday, February 12, 2019

Guna Kemahiran Dan Pengetahuan Kursus Untuk Tingkatkan Sosioekonomi Keluarga - Dr Hazland



KUCHING: Para peserta diingatkan supaya menggunakan peluang kemahiran dan pengetahuan Kursus 'Online Marketing' dan Asas Keusahawanan ini dengan sebaik-baiknya untuk direalisaikan bagi menambah pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata hanya menerusi kemahiran dan pengetahuan sahaja membolehkan kita mengubah kehidupan daripada baik kepada yang lebih baik.

"Peserta harus menggunakan peluang yang disediakan ini untuk mengubah kehidupan keluarga untuk menjadi lebih baik lagi.

"Sebelum ini, kita telah menganjurkan Kursus Pemprosesan Makanan. Pada kursus itu, peserta diberikan kemahiran berkenaan membuat makanan sejuk beku seperti pau, roti, pai dan sebagainya.

"Kesinambungan itu, kali ini peserta diberikan kursus lanjutan berupa Kursus 'Online Marketing' dan Asas Keusahawan yang diadakan pada hari ini.

"Selepas ini, peserta boleh terus mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi kepada penghasilan produk dan pemasaran berdasarkan kursus yang dipelajari untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Online Marketing dan Asas Keusahawanan Wanita Kampung Tabuan Tengah di Pusat Internet Taman Sepakat Jaya, Sabtu lepas.

Seramai 18 orang peserta dari Kampung Tabuan Tengah telah menghadiri kursus ini yang diadakan selama dua hari.


Dr Hazland menjelaskan bahawa kursus ini turut diperluaskan kepada golongan belia yang sebelum ini telah mengikut Kursus Asas Gunting Rambut. 

Kursus ini adalah kesinambungan daripada Kursus Pemprosesan Makanan yang telah dianjurkan tahun lepas di 28 buah kampung di kawasan DUN Demak Laut.

Sementara itu, bagi Pengurus Pusat Internet Taman Sepakat Jaya Viviena Robin, pada kursus ini peserta diajar dua kemahiran serentak iaitu melibatkan Online Marketing dan Asas Keusahawanan.

"Pada kursus Keusahawanan Digital 'Online Marketing', peserta akan diberikan kemahiran asas mengenai internet dan kandungannya. 

"Mereka turut diajar mencipta blog dan mencipta keperluan di internet sebagai syarat sebelum menyertai perniagaan atas talian.

"Selepas itu, pada Kursus Asas Keusahawanan peserta akan diberikan pengetahuan asas berkaitan perniagaan seperti jenis perniagaan, undang-undang perniagaan, pendaftaran perniagaan dan perniagaan atas talian berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Salah seorang peserta kursus Siti Ahmat @ Siti Aminah bte Sadan, 48 tahun berkata beliau berasa teruja mengikuti kursus ini selepas melihat ramai rakan-rakan yang telah menceburi perniagaan atas talian ini.

"Selepas diberitahu akan ada Kursus 'Online Marketing' dan Asas Keusahawanan diadakan selepas menghadiri Kursus Pemprosesan Makanan, saya terus tekad untuk menghadirinya.

"Saya berazam untuk mengikuti kursus ini bagi membolehkan saya mengetahui langkah-langkah seterusnya dalam menceburi bidang perniagaan atas talian.

"Apa yang saya pelajari hari ini banyak ilmu baru dan saya akan cuba mempraktikkannya untuk saya berada dalam perniagaan yang baru buat saya dan rakan-rakan," katanya yang berasal dari Kampung Tabuan Tengah.


Seorang lagi peserta Hajijah bte Haji Salleh, 61 tahun, melahirkan rasa terima kasih kepada Dr Haji Hazland di atas penganjuran kursus sebegini.

"Terima kasih YB Dr Hazland di atas penganjuran kursus sebegini yang begitu baik dan bermanfaat kepada kami suri rumah.

"Walaupun telah berumur, ia sedikitpun tidak menghalang saya dan rakan-rakan mempelajari ilmu yang baru dan terlibat dalam perniagaan pada masa kini.

"Kepada rakan-rakan, gunakanlah ilmu yang disampaikan ini untuk meningkatkan pendapatan keluarga kita. Juga, ilmu yang bermanfaat mampu mengubah kehidupan kita di masa akan datang," katanya.

Selepas ini, akan ada beberapa buah kampung lagi yang akan mengikut kursus yang sama di Pusat Internet Taman Sepakat Jaya untuk melengkapkan ketiga-tiga kursus ini sebagai persediaan untuk menceburi alam perniagaan. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top