KUCHING: Tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak yang tidak lagi menyiarkan berita mengenai program dan acara yang dihadiri pemimpin Sarawak dalam siaran beritanya telah mencetuskan rasa kurang senang di kalangan pemimpin dan rakyat Sarawak.
Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak telah memperoleh slot berita di Astro Awani 501 yang boleh ditonton pada jam 7.00 malam dan 9.00 malam setiap hari.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata tindakan RTM Sarawak yang tidak lagi menyiarkan berita berkaitan program dan aktiviti yang dihadiri pemimpin Kerajaan Sarawak adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dalam kebebasan media yang diperjuangkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Malaysia.
"Selepas mengambil alih tampuk Kerajaan Persekutuan, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah menjelaskan bawah Kerajaan PH akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini.
"Sebagai Malaysia Baharu, melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang, media berperanan penting ke arah merealisasikan objektif itu.
"Tetapi, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Di manakah kesuburan dan kebebasan media yang diperkatakan pemimpin PH selepas mengambil alih Kerajaan Persekutuan? dengan mengambil contoh RTM Sarawak ketika ini," katanya semasa diminta memberikan pandangan terhadap tindakan RTM 'memboikot' program dan aktiviti yang diadakan di Sarawak.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memperbetulkan garis panduan yang melarang RTM membuat liputan di Sarawak.
Mengenai langkah menggunakan slot Astro Awani 501, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland menjelaskan Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai hak untuk berbuat demikian sebagai langkah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai apa yang berlaku di Sarawak.
"Selepas kegagalan RTM menyiarkan berita mengenai program dan aktiviti Sarawak, Kerajaan Sarawak telah bekerjasama dengan Astro Awani dalam menyiarkan berita Sarawak.
"Melalui Astro Awani 501, rakyat Sarawak akan memperoleh lebih banyak berita mengenai Sarawak berbanding apa yang pernah disiarkan RTM sebelum ini," tambahnya.
Penonton bukan sahaja dapat menonton berita dari Sarawak menerusi Astro Awani 501, tetapi juga boleh menontonnya menerusi atas talian http://www.astroawani.com/topic/sarawak.
No comments:
Post a Comment