Music

Header Ads

Saturday, April 13, 2019

Kerjasama UNIMAS Dan Penduduk Kampung Muara Tebas Dalam Melahirkan Lebih Ramai Modal Insan Cemerlang


KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diminta menjalinkan kerjasama berterusan kepada penduduk di Kampung Muara Tebas dalam usaha membangunkan modal insan yang cemerlang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata Kampung Muara Tebas berpotensi dalam melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak mahu menjadikan negeri ini maju menjelang 2030.

“Tidak lama lagi akan adanya seseorang yang bergelar doktor perubatan di Kampung Muara Tebas ini. Ketika ini, beliau sedang menghabiskan pengajiannya dalam bidang kedoktoran di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UNIMAS.

“Selain itu, Kampung Muara Tebas juga pernah melahirkan ramai bakat sukan seperti pemain bola sepak yang kini mewakili negeri dan negara dalam sukan tersebut.

“Tidak ketinggalan, Kampung Muara Tebas juga melahirkan bakat-bakat dalam bidang lakonan seperti Dol Bashir dan Ali Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penutupan UNIMAS Masuk Kampung ‘Catch a glimpse with UNIMAS’ anjuran SEBERKAS Kampung Muara Tebas dengan kerjasama UNIMAS di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas, petang tadi.

Dr Hazland yang juga Pengerusi SEBERKAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menyokong aktiviti seumpama ini sebagai langkah positif untuk memajukan modal insan selain memperkenalkan budaya Kampung Muara Tebas kepada Pelajar-pelajar UNIMAS.

“Hari ini kita melihat bagaimana pelajar-pelajar UNIMAS mempelajari masakan tempatan seperti membuat kuih tradisional.

“Dalam pada itu, pelbagai lagi aktiviti yang telah dan akan diadakan bagi mencapai matlamat penganjurannya.

“Jika dahulu, sewaktu zaman belajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) saya juga kerap terlibat dalam aktiviti seperti ini dengan menawarkan perkhidmatan perubatan percuma kepada masyarakat yang tinggal di kawasan sehingga,” tambahnya.

Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada 7 penerima yang berjaya melanjutkan pengajian di IPT dalam pelbagai bidang.

“Semenjak saya mengadakan program ini beberapa tahun lepas, jumlah mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di IPT semakin bertambah. 

“Ini suatu perkembangan yang baik untuk anak-anak di kawasan DUN Demak Laut. Hasilnya kita akan dapat melihat seorang doktor dari Kampung Muara Tebas selepas ini,” jelasnya.


Seramai 70 orang pelajar dari FSGK yang diketuai pensyarah Dr Rizal berkampung di Kampung Muara Tebas dalam usaha memberikan khidmat bakti kepada penduduk. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top