Music

Header Ads

Wednesday, March 20, 2019

Perjuangan GPS Hanya Untuk Rakyat Sarawak


KUCHING: Rakyat Sarawak perlu tahu apa yang diperjuangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pelancaran gabungan parti itu 19 Januari lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata agenda GPS tidak sama seperti Barisan Nasional (BN).
"Selepas keputusan keluar BN pada 12 Jun 2018, parti komponen Sarawak yang terdiri daripada empat buah parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) telah menubuhkan GPS.
"Pendaftarannya telah diluluskan pada 19 November 2018 dan pelancaran rasminya telah diadakan pada 19 Januari lepas di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak.
"Bertemakan 'Sarawak Diutamakan' atau 'Sarawak First', GPS akan memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memelihara serta menjaga Perlembagaan Sarawak daripada dicampuri oleh pemimpin-pemimpin luar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Taklimat Isu-Isu Semasa Politik Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Selabat, semalam.
Dr Hazland yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Sarawak turut menjelaskan perlunya rakyat Sarawak terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan negeri yang terdiri daripada anak-anak tempatan.
"Landskap politik Malaysia yang berubah secara tidak langsung telah menyebabkan politik Sarawak turut mengalami kesannya.
"Berdasarkan situasi semasa kini, rakyat Sarawak digesa terus memberikan kepercayaan kepada pemimpin tempatan daripada GPS untuk terus memerintah Sarawak.
"Jika keadaan sebaliknya berlaku, nescaya kesannya amat sakit dan menangis air mata darah sekalipun tidak berguna seperti yang pernah dinyatakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg," tambahnya.
Ini merujuk kepada beberapa insiden pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini cuba untuk mencampuri hak dan keistimewaan rakyat Sarawak dan Perlembagaan Sarawak dengan mahu memansuhkan Kanun Tanah Sarawak dan Kuasa Imigresen Sarawak.
Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada 72 orang golongan asnaf Kampung Selabat, menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka dan seterusnya melancarkan GPS Kampung Selabat.

No comments:

Post a Comment

Back To Top