Music

Header Ads

Friday, January 10, 2020

Laporan Keselamatan Sungai Tapak Feri Selamat, Permohonan Semula Dilakukan Ke Mesyuarat Kabinet [Video]



KUCHING: Projek Feri Sungai Tapang kini dalam proses permohonan semula setelah tidak diluluskan kabinet atas sebab keselamatan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni permohonan itu sekali lagi akan dibawa ke mesyuarat kabinet selepas laporan keselamatannya menunjukkan kawasan cadangan itu selamat. 

“Selepas permohonan awal tidak diluluskan kabinet atas sebab keselamatan, satu kajian menyeluruh telah dilakukan. 

“Hasil laporan rasmi Keselamatan Sungai mendapati tapak cadangan pembinaan feri itu selamat. 

“Untuk itu, permohonan semula Pembinaan Feri Sungai Tapang akan dilakukan di dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sarawak,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa selepas menghadiri Mesyuarat Bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut anak Masing berkenaan pembinaan Sistem Feri di Sungai Tapang dan Jambatan di Loba Batu Belat, Sungai Pinang pada Isnin. 

Sementara itu, Dr Haji Hazland menambah, bagi permohonan Jambatan Loba Batu Belat ianya baru sahaja dikemukakan secara rasmi kepada Kerajaan Sarawak sebagai langkah jangka panjang bagi menghubungi kawasan Tanjung Embang yang terdiri dari Kampung Semilang, Kampung Beradek, Kampung Beradek Cina, Kampung Tiang Api dan Kampung Sungai Pinang. 

“Permohonan ini perlu juga dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri Sarawak untuk mendapatkan kelulusan sebelum tindakan seterusnya diambil. 

“Jika ianya diluluskan, pastinya suatu berita yang baik kepada kira-kira 5,000 penduduk yang tinggal di beberapa buah kampung di Tanjung Embang melibatkan kawasan pertanian seluas 10,000 ekar,” tambahnya. 

Kedua-dua projek ini jika diluluskan pastinya memberikan impak positif kepada penduduk dalam usaha meningkatkan sosioekonomi dan pengangkutan, selain mengurangkan kos bahan mentah bagi membina rumah dan projek kerajaan di kawasan itu yang meningkat dua kali ganda disebabkan kos pengangkutan yang tinggi. 

Hadir sama Ahli Parlimen Santubong Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Setiausaha Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Safri Zainuddin, Penghulu Hj Bolhassan Ibrahim, Ketua Kaum Haji Pauzi Ameng, Ketua Kaum Sedi Jenis, Ketua Ranting PBB Beradek Ismail Sait dan Ketua Ranting Semilang Panyi Han.

No comments:

Post a Comment

Back To Top