Music

Header Ads

Sunday, March 29, 2020

Giliran Golongan Asnaf Di Kampung Tanjong Bako Terima Bantuan - Dr Hazland


KUCHING: Walaupun jaraknya lebih 35 kilometer dengan menggunakan jalan darat dan terletak di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP), sebanyak 88 orang golongan asnaf di Kampung Tanjong Bako tidak pernah dilupakan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, sumbangan bantuan berupa makanan dan minuman ini adalah menyeluruh kepada semua golongan asnaf yang berdaftar dengan e-kasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pergerakan masyarakat adalah terhad dan orang ramai harus mematuhi arahan ini bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Jangan keluar rumah sekiranya tidak mempunyai urusan dan waktu yang dibenarkan keluar rumah adalah dari jam 7.00 pagi hingga jam 7.00 malam sahaja.

“Bagi golongan asnaf, bantuan ini bertujuan meringankan beban mereka yang terpaksa duduk di rumah dan ada di kalangan mereka yang hilang mata pencarian disebabkan tidak dibenarkan melakukan kerja harian,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas dihubungi pada Sabtu. 


Dr Hazland menambah, orang ramai diminta untuk tidak terus mempercayai maklumat yang ada di dalam media sosial tanpa menyelidiknya terlebih dahulu. 

“Ketika ini maklumat di media sosial sangat banyak dan sukar untuk memastikan sama ada ianya benar atau tidak. 

“Justeru, orang ramai diminta untuk menyelidik terlebih dahulu dan hanya memastikan maklumat benar dan tepat sebelum dikongsi kepada ahli keluarga dan rakan yang lain.

“Untuk memberikan maklumat terkini mengenai keadaan semasa COVID-19 di Sarawak atau Malaysia, boleh dapatkan terus di Facebook Page Hazland Hipni dan Facebook Page DUN N05 Demak Laut,” tambahnya. 

Hadir sama Ketua Kaum Haji Rajidin bin Narawi, Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bohri Abang dan Ahli Jawatankuasa PBB Kampung Tanjong Bako, ahli-ahli Ranting PBB dan ahli-ahli SABERKAS. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top