Music

Header Ads

Tuesday, March 31, 2020

Kerajaan Sarawak Mengutamakan Penghantaran Bantuan Makanan Kepada Golongan Sasar


KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM16.4 juta bagi membekalkan makanan asas di seluruh negeri. 

Peruntukkan ini telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sewaktu mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang pada Isnin lepas. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, golongan sasar akan dibekalkan dengan makanan ini dan ianya akan diuruskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian/Daerah dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan, Pusat Khidmat ADUN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Ia merangkumi ketua isi rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk golongan miskin bandar dan mereka yang kehilangan pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Kerajaan juga akan menggunakan semua pengangkutan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bomba bagi menghantar makanan ke kawasan pedalaman dan luar bandar seperti Belaga, Baram, Bario, Batang Ai, Kapit, Ba’kelalan dan Long Semadoh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan di pejabatnya di Wisma Sumber Alam pada Isnin.


Tambah Datuk Amar Awang Tengah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta untuk memastikan bekalan makanan di semua 800 pusat jualan dan kedai runcit di seluruh Sarawak mencukupi.

“Harga makanan mestilah dikawal mengikut harga borong dan semua pusat jualan atau kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 4 petang,” tambahnya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni ketika ditanya mengenai cadangan Kerajaan Sarawak itu dalam penyaluran bekalan makanan ini, berkata beliau menyambut baik cadangan pelaksanaan pengagihan ini yang diperturunkan kepada Jawatakuasa Pengurusan Bencana Bahagian/ Daerah, dan Pusat Khidmat ADUN serta NGO.

“Selain ianya menyeluruh, bantuan dan kerjasama daripada NGO’s ini akan dapat melancarkan pengagihan bekalan makanan kepada golongan sasar. 

“Di samping itu, penggunaan pengangkutan seperti ATM dan Bomba bagi penghantaran makanan ke kawasan pedalam dan luar bandar sangat pratikal pada waktu ini. 

“Dalam pada itu, setiap Pusat Khidmat ADUN mempunyai data dan maklumat mengenai golongan sasar di setiap kawasan selain bantuan daripada NGO yang mempunyai tenaga kerja yang ramai dapat membantu melancarkan lagi pengagihan bekalan makanan di masa PKP ini,” ujarnya yang turut sama hadir di mesyuarat tersebut. 

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Haji Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzruddin Abdul Rahman, ADUN Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo dan ADUN Serembu Miro anak Simuh.  

No comments:

Post a Comment

Back To Top