Music

Header Ads

Friday, March 13, 2020

GPS Tetap Memperjuangkan Hak Sarawak Seperti Dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)


KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap nekad untuk terus memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang ada di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun kini GPS menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan entiti Perikatan Nasional (PN) Plus GPS. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata atas sebab itu GPS akan kekal sebagai entiti politik di dalam Perikatan Nasional bagi membolehkan perjuangan hak Sarawak diteruskan. 

“Ramai yang beranggapan dan melihat keputusan GPS menyokong PN dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu menyebabkan perjuangan mendapatkan hak-hak Sarawak akan hilang. 

“Tanggapan itu sama sekali tidak benar. GPS akan tetap memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti dalam MA63 dan mengutamakan rakyat Sarawak.

“Sebaliknya, keputusan GPS menerima dan menganggotai Kabinet Persekutuan di bawah PN Plus GPS adalah bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik yang melanda tanahair di samping platform terbaik untuk GPS mengetengahkan hak-hak Sarawak di dalam kabinet,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Taklimat dan Dialog Isu-Isu Semasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di Kampung Sejingkat Hulu pada Ahad. 

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan kepada 87 orang asnaf yang terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Sejingkat Hulu. 


Menyentuh mengenai penyampaian sumbangan ini, Dr Hazland memberitahu bahawa program ini merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak beliau menjadi wakil rakyat di DUN Demak Laut.

“Program penyampaian sumbangan ini merupakan program tahunan DUN Demak Laut untuk membantu golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya percaya jumlah ini akan berubah setiap tahun dan ini secara tidak langsung membolehkan Pusat Khidmat N5 Demak Laut mengemaskini data golongan asnaf yang ada di kawasan DUN Demak Laut.

“Justeru, saya menyeru kepada warga DUN Demak Laut yang tergolong dalam golongan asnaf untuk mendaftarkan diri di Pusat Khidmat N5 Demak Laut atau menghantar pesanan di talian 017-8585007,” ujarnya. 

Turut juga diadakan pemberian bantuan kepada pelajar-pelajar yang berjaya mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara khusus untuk warga  DUN Demak Laut. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top