Music

Header Ads

Tuesday, March 17, 2020

Konsep ‘Sarawakku Sayang’ Mengajak Rakyat Sarawak Menyayangi Ibu Pertiwiku


KUCHING: Konsep Sarawakku Sayang yang diilhamkan Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg  pada awal tahun ini adalah bertujuan untuk rakyat Sarawak menyayangi negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata jika bukan kita siapa lagi yang akan menyayangi Sarawak yang ketika ini ditadbir pemimpin tempatan mengikut acuan sendiri. 

“Konsep Sarawakku Sayang yang diperkenalkan awal tahun ini adalah suatu yang baik dan wajar disokong rakyat Sarawak sebagai sokongan kepada Ketua Menteri dan negeri dalam meneruskan agenda pembangunan. 

“Ianya diadakan adalah bertujuan untuk memberitahu penduduk dan masyarakat setempat mengenai pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan dan wakil rakyat untuk keperluan rakyat.

“Di samping itu, ianya secara langsung menggambarkan kecintaan dan sayangnya rakyat Sarawak menyayangi negeri yang kita cintai. 

“Inilah yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak yang mula diperkenalkan di Majlis Pelancaran Sarawakku Sayang pada 13 Januari lepas di Kota Samarahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Taklimat dan Dialog Isu-Isu Semasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di Kampung Sejingkat Hilir pada Ahad. 

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan kepada 136 orang asnaf yang terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Sejingkat Hulu. 


Menyentuh mengenai penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, Dr Hazland memberitahu ini merupakan program tahunan yang telah dilaksanakan sejak mula dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 

“Penyampaian sumbangan pada hari ini adalah sebahagian daripada program tahunan wakil rakyat DUN Demak Laut yang diadakan di setiap kampung dalam  kawasan DUN Demak Laut. 

“Dalam penyampaian sumbangan ini, data golongan asnaf akan digunakan bagi keperluan mendapatkan bantuan yang diberikan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan apabila diminta,” ujarnya.

Justeru, kepada masyarakat yang berada di DUN Demak Laut yang merupakan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan boleh menghantarkan pesanan di nombor 017-8585007 dan datang terus ke Pusat Khidmat N5 Demak Laut.

Turut diadakan bantuan kepada pelajar-pelajar yang berjaya mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara khusus untuk warga Demak Laut.

No comments:

Post a Comment

Back To Top