Music

Header Ads

Thursday, April 30, 2020

Bantuan PPRMS Berjaya Bantu Penduduk Baiki Kehidupan Lebih Baik


KUCHING: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang merupakan salah satu inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menerusi ‘Team Abang Jo’ telah berjaya mengubah kehidupan penduduk. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata sebelum ini kehidupan mereka dibelenggu dengan masalah kebocoran dan kerosakan sehingga menyebabkan kehidupan mereka sering terganggu. 

“Inisiatif Kerajaan Sarawak memperkenalkan PPRMS adalah suatu tindakan yang tepat dalam membantu memberikan kehidupan rakyat yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Ini terbukti apabila kebanyakan mereka yang menerima bantuan PPRMS ini melahirkan kegembiraan kerana kehidupan mereka telah berubah dan masalah yang membelenggu mereka sebelum ini telah berjaya diselesaikan,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada Khamis.

Salah seorang penerima bantuan PPRMS, Sahdiah binti Sami dari Kampung Tabuan Lot berkata beliau melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ADUN Demak Laut atas bantuan ini yang telah menyebabkan rumahnya kini tidak lagi bocor setiap kali hujan turun. 

“Sekarang ini rumah saya tidak bocor lagi selepas dibaik pulih menerusi bantuan PPRMS. 

“Hati saya senang sebab tidak perlu lagi memikirkan masalah bocor setiap kali hujan,” katanya.


Bagi Eri bin Bujang juga dari Kampung Tabuan Hilir, kehidupan mereka lebih baik dan selesa berbanding sebelumnya. 

“Sejak rumah kami dibaiki menerusi bantuan PPRMS, sekarang ini sudah baik, tiada lagi kerosakan.

“Terima kasih Yang Berhormat Dr Hazland di atas bantuan yang diberikan dan menjadikan kehidupan kami sekeluarga selesa,” katanya. 

Kedua-dua penerima bantuan PPRMS itu mengucap syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Demak Laut Dr Hazland kerana telah mengubah kehidupan mereka sekeluarga dan membolehkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana selesa biarpun dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top