Music

Header Ads

Sunday, May 3, 2020

Dr Hazland Sambut Baik Keputusan Kerajaan Sarawak Kaji Semula Pembukaan Sektor Perniagaan


KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak untuk tidak mengikuti keputusan Kerajaan Persekituan dalam membenarkan kebanyakan perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei adalah suatu tindakan tepat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata ini bagi memastikan keselamatan rakyat Sarawak terjamin dan situasi di negeri ini benar-benar bebas COVID-19. 

“Kita menghormati keputusan Perdana Menteri yang mengumumkan sektor perniagaan mula beroperasi pada 4 Mei 2020 seperti dalam ucapannya sempena Hari Pekerja 2020 semalam. 

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak dikatakan akan mengkaji secara terperinci SOP dan syarat untuk membuka semula ekonominya. 

“Keputusan ini bagi memastikan tindakan itu betul dan memberikan manfaat kepada sektor ekonomi negeri yang turut terjejas disebabkan COVID-19,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan membenarkan sektor perniagaan dibuka pada 4 Mei 2020. 


Dalam pada itu, Dr Hazland mencadangkan agar 6 kriteria yang ditetapkan Kesatuan Kesihatan Dunia (WHO) dijadikan asas sebelum sektor perniagaan dibuka sepenuhnya. 

“Pertama, kawalan sempadan negara diperketatkan untuk mengelak kes import COVID-19, kedua kawalan pergerakan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan dan ketiga peningkatan keupayaan fasiliti kesihatan.

“Manakala, keempat keupayaan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat dan orang kelainan upaya (OKU), kelima Amalan Normal Baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakkan sosial dan memakai penutup muka dan terakhir pemerkasaan komuniti untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti di Zon Hijau,” ujarnya. 

Jika keenam-enam kriteria tersebut dapat dipenuhi, maka bolehlah dibuka semula aktiviti ekonomi dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan COVID-19. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top